Sigar & Api

Tuesday 19 June 2012

Ek eleh.

Ali lari laju. Lari, dan lari, dan lari lagi. Kakinya lenguh, tapi jiwanya masih ampuh. Maka dia terus lari, dan lari, dan lari terus. Tak berhenti. 

Hingga tiba hari kedua ratus dua puluh dua harinya dia berlari, dan dia berhenti. Bukan kerana lenguh kakinya. Atau jiwanya sudah dirobek putus asa. Bukan. Tetapi kerana sudah tiba dia di destinasi yang dia tuju.

Ada sebuah pintu. Maha agam. Tingginya saja, dari mata Ali, mungkin sudah hampir-hampir cecah Arasy'. Apakan tidak, kepala Ali yang sudah didongak di satah paling tidak selesa pun, tidak dapat bertemu dengan penghujung pintu itu. Terlalu tinggi. Terlalu agam. 

Ali risau. Sudah dia tiba di destinasinya ini. Namun menilai kudrat diri, dan berkuasanya pintu dihadapannya sekarang ini, bikin jiwanya yang enggan juga robek pabila seluruh tubuhnya tidak punya daya lagi ketika dalam perjalanan ke sini, luluh. 

Fikirnya, lenguh lelah tubuhnya selama ratusan hari dia berlari tanpa henti itu, akan dibalas terus pabila tiba di destinasinya nanti. Akan ada segala yang dia mahukan. Hanya perlu ditimang-timang dalam kepala, dan akan tiba juga dihadapannya.

Namun, di hadapannya ada pintu ini. Maha agam. Maha tinggi. Sungguh berkuasa. 

Sedang dia kerdil. Tubuhnya sudah lenguh. Kudratnya sudah lusuh. 

Pasti, bisik hati Ali, takkan mampu dia tewaskan pintu ini.

Maka selepas dua puluh lima minit Ali membiarkan fikirannya berkelana membayangkan kegagalannya menewaskan pintu itu nanti, dia berserah. Anak tangga yang sebanyak lima ratus lima puluh itu, dia langkau dengan sekali langkah.

Di anak tangga pertama. Bertakung pekat darah merah, mengalir lesu dari tubuh seorang lelaki, dan dari anak tangga ke seratus satu, ada garis kasar darah yang hujungnya di kepala tubuh lelaki itu.

-----

Lima puluh enam tahun kemudian, datang seorang lagi manusia, dengan kelaminnya menandakan dia boleh saja dinikahi Ali, menewaskan pintu itu dengan mudah. Tubuhnya juga lenguh. Kudratnya juga lusuh. Namun jiwanya masih agam. Dan pintu itu dengan satu tolakan.

Rupanya pintu itu dibikin dari plywood. Manusia yang kelaminnya menandakan dia boleh saja dinikahi Ali itu, mencebik. 

"Ek eleh, luar je kebabom hebat, nipis je rupanya. Ceh. Buat lapar je, kalau ada ayam panggang dengan teh madras ni sedak juga ni," bisiknya.

Dan kemudian ada ayam panggang dengan teh madras tersedia di hadapannya.

Nyum nyum.




Labels: