Sigar & Api

Thursday 21 June 2012

Lagi-lagi detik.

Sigar itu dia hembus hisap hembus hisap dengan kocoh. Mata lilau kiri ke kanan ke kiri ke kanan dengan rakus. Peluh terkecur laju dari setiap lohong pori tubuh. 

Tap.

Bahunya disentuh, jantung berdetak laju, mata buntang, fikiran melayang - ke anak-anak, ke isteri tercinta, ke ruh ibu dan jasad bapa, ke dosa-dosa yang tak terjejakkan, ke pahala yang sepele jumlahnya, ke segala yang sempat terlintas di getarnya fikir.

Dia tahu jasad di belakangnya ini adalah malaikat mautnya. Yang dia sendiri tempah kehadirannya. Lama dulu, tatkala keluarga jatuh di telapak kaki, tatkala ego isi benak kepala, tatkala harta isi maraknya nafsu, tatkala itu, malaikat mautnya ini adalah malaikat pelindung yang datang dengan kepuk wang, dan senyum mesra. Tanpa fikir, dia peluk kejap malaikat pelindungnya itu, letak ia dia bahu dan dengar setiap bait kata paling dia mahu dengar tatkala segala pertaruhan dia jadi pecundang -- "Wang aku ini, kau yang punya."

(5) detik nanti, pasti matinya tidak seenak yang dia idamkan, dan semua kerana wang yang katanya dia yang punya. (5) detik nanti, malaikat pelindungnya akan beri dia sebaris gigi yang sama, cuma dengan makna yang berbeza, tidak lagi pelindung, tapi maut. (5) detik lagi, dan habislah segalanya buat dia. Dan (5) detik itu bermula dari sekarang.

"Ampunkan dosaku, tuhan," bisiknya dengan pejam.

Labels: