Sigar & Api

Thursday, 3 May 2012

Cokolat

Tadi petang kamu beri aku sebekas kotak yang diperbuat dari plastik. Di dalamnya ada coklat, dua biji jumlahnya. Warna merah jambu juga biru. Masa tu kita sedang menunggu bas pulang ke rumah. Mata aku melilau pandang, segan kalau-kalau ada mata mencuri lihat. 

Aku pandang kedua coklat tersebut. Comel juga, bisik hati aku. Tapi yang terkeluar di bibir, kenapa belikan ni? Membazir je.

Kamu cuma senyum, lalu bilang, biarlah, untuk kau, tak boleh meh?

Aku senyum kembali. Aku selalu suka dengan gaya kamu, suara kamu, mata kamu, bila kamu katakan ke aku hal-hal sebegitu. Manis, macam biasa. Walau selalunya terlebih, tak apa. Hati yang terkena obesiti gara-gara cinta yang terlebih manis itu, tak terkata rasanya- indah barangkali perkataan yang paling dekat dengan situasi itu. Walaupun jaraknya adalah dalam beberapa tahun cahaya. 

Aku ambil dan kata, macam tak sanggup je nak makan ni. Kemudian kamu renung aku dan kata, makan. Sayang nanti tak makan. Rosak je. 

Tapi, kata aku sambil menerbitkan senyum di bibir, ini kau yang bagi, betul rasa sayang nak makan. Macam nak simpan. Jadi monumen. 

Kamu renung aku lagi. Dalam mata kamu, aku lihat senyum. Kamu suka, teka aku. Kemudian tak semena-mena, kamu  pukul bahu aku, lalu kamu kata, mengada! Makan tu. Faham?

Aku tergelak bila kamu beri reaksi begitu, comel rasanya, jadi aku hangatkan lagi dan kata, tak nak, nak simpan.

Kamu diam, palingkan sekaligus memeluk tubuh kamu. Muka dah mencuka. Aku senyum, dan bisik, ok sunshine, aku makan. Bibir kamu aku lihat senget sedikit. Mungkin suka aku panggil kamu sunshine. Gelaran khas buat kamu, dan kamu seorang.

Kamu kemudiannya tenung aku dan jawab, betul?

Aku senyum dan angguk.

Kemudian bas sudah sampai. Kita segera kejar. Takut nanti ramai orang, dan kita tertinggal di belakang. Bukan aku tak suka, boleh juga berdua dengan kamu. Tapi aku penat, dan tertinggal bas ni lain macam perasaannya. Sambil berjalan, kamu suruh aku letak dalam beg kotak kecil plastik itu, aku enggan. Alasan aku, aku tak nak nanti coklat tu rosak. Sayang..

Kamu senyum, dan kata, mengada.

Labels: