Sigar & Api

Friday 25 May 2012

Sekumpulan Cerita.

Di bawah ini adalah sekumpulan cerita yang sudah dikumpul-kumpul untuk beberapa lamanya selepas digantung tak bertali di laman sosial yang paling overrated masa kini. Dibiarkan tak bertajuk kerana cerita ini cerita segera. Ditaip kekadang tanpa niat pun untuk dijadikan sebuah naratif. Maka, kalau kamu ini jenisnya cerewet ingin bertajuk, bolehlah kamu fikirkan dalam kepala tajuk untuk setiap cerita. Ya, silakan.

--------------------

Katanya, lepas aku bagi dia briefing filem Gubra, "...tak berapa deep aa bang! Saya.. saya.." katanya lagi sambil tergagau mencari perkataan yang sesuai untuk gambarkan apa yang dia nak, barangkali, "..nak something yang..."

Tepat-tepat lepas dia habiskan ayat dia aku dah pelempang. Dasar hipster jalang. Kau nak deep sangat kau pegi terjun lautlah. Cilake! 

Kemudian, tepat-tepat (5) minit kemudian, "Deep, deep, kepala pungkoq hang!" jerit aku ke dia yang sedang terkapai-kapai mengukur ke'deep'an laut China Selatan.

Sambil-sambil tu aku kira dalam kepala stok kretek aku tinggal berapa. 

-------------------

"Aku tak faham," katanya sambil sedut-sedut hujung kretek yang tinggal suku nak jahanam, "..macam mana aku boleh jugak paksa diri untuk menulis."

"Padahal kau bukan boleh menulis pun kan," sambung aku selamba tanpa ambil pandang pun reaksi dia. Tapi aku dengar bunyi 'tsskkk' lah dari bibir dia.

Lepas tu aku dengar juga tapak kaki yang berlalu jauh dari tempat tonton tivi kitorang. 5 minit macam tu, dan aku dengar bunyi laptop dibunyikan. Siap ada bunyi tulang dikasi patah-patahkan.

Aku senyum. "Nak motivasi stail anggur dan bir jangan mintak dengan aku lah, aku bagi duri dengan api je, bhai," gumam aku sambil hirup nescafe godak susu Fernleaf aku.

------------------

Aku tak faham, dia punya laman blog yang sudah cecah hingga (80) juta klik, hanya selepas (2) tahun bermula. Catatan-catatan di dalam blognya sudah dibukukan sebanyak (2) kali. Dan isi-isi catatannya semua bukan main-main. Ada isi, dan yang penting, menurut kebanyakan peminatnya, ada jiwa. 

"Aku hanya pembesar suara, bukan penulis," ujarnya untuk kali yang ke berapa, aku pun tidak pasti. Cumanya sekali ini lebih lantang. Gagak yang sedang enak menyelam dalam sisa-sisa makanan turut terbang ke awan yang makin hitam. Mungkin, fikirku, mungkin kerana selepas dia dihentam teruk oleh pengkritik paling diawasi kritikannya, En. Bose, yang mengatakan catatan-catatannya kontang emosi dan hanya menggula-gulakan pembaca yang sudah sedia buta. Selepas kritikan itulah dia makin perlahan dalam menulis, dan akhirnya dia, tanpa amaran atau apa-apa, berhenti. Peminatnya yang ribuan mencari. Namun, selepas (1) bulan menunggu kepulangannya, mereka jadi bosan. Apatahlagi mencambah penulis-penulis lain bak cendawan disiram hujan. Dan, genap (3) bulan, dia dilupakan. Tidak ada lagi catatan tentang dia, atau sosek-sosek di laman-laman manusia lain. Dia sudah diganti. Dia sudah dilupa.

Tapi tidak aku, dia aku jejaki sungguh-sungguh. Akhirnya selepas (3) bulan mencari, aku jumpa dia di sini. Di lorong belakang bangunan. Kotor, dia berkongsi tempat dengan segala mahluk menjijikkan. Makan minumnya cuma sisa-sisa yang diberikan oleh pekedai yang 'bermurah hati'. 

"Aku sudah jadi penghuni alam," katanya kali pertama bertemu, hapak tubuhnya buat aku menggosok-gosok pangkal hidung, "aku tidur berkasurkan bumi, dan, dan!" katanya girang, sambil menuding ke atas, "bumbungku langit!" Aku angguk kepala tanda mendengar, tapi dia tampaknya tak peduli apa pun reaksi ku, terus saja sambung tanpa dipinta, "temanku sekarang ini mereka," seraya mengusap-ngusap seekor anjing dan kucing, selain menuding pada tikus montok yang berlarian di celah longkang, "mereka terima aku apa adanya. Mereka," katanya lagi dengan senyum seringai, "adalah manusia sebenar sekarang! Bukan.." katanya tergelak girang, "...lagi kita!" 

Girang. Dia memang girang. Habis aku ucapkan terima kasih, langsung dia ketawa tak habis sambil kembali mencanting bibirnya dengan kata-kata itu -- AKU SUDAH JADI PENGHUNI ALAM!


------------------


"Entah," jawab aku lemah dan ego, rasanya, bila dia tanya apa masalah aku. "Kau takde keyakinan, bodoh!" dia jerit betul-betul ke muka aku yang dia palingkan dengan genggam jarinya pada kedua bahu aku. "Kau tengok orang hebat sikit, dan kau jadi layu, kau," katanya lagi dengan mata menyala, "jadi ragu dengan upaya sendiri, kau ni," sambungnya tak putus dengan bukaan bibir aku yang hendak berkata, "bodoh nak mampus!"

Patutnya aku berang, aku jatuhpaksakan genggam jemari dia di bahu aku. Kemudian aku tarik kolar baju dia, dan acungkan penumbuk yang dikepal dengan amarah, dan tumbuk muka dia sepuas hati, hingga dia tumbang dan merayu. Tapi aku takkan puas, dia calitkan aku dengan kata-kata bodoh, mana nak letak maruah aku. Jadi aku akan terajang dia hingga dia terkutik tak bergerak.

Tapi tak, aku tak buat apa-apa. Aku cuma tunduk. Biarkan alir jernih mengempang pada pinggir mata. Nyala mata dia terlampau marak bila dia kata itu ke aku. Aku, aku, tak mampu tidakkan kata-kata dia.

Aku memang lemah, dan bodoh.


------------------

Labels: