Sigar & Api

Saturday 19 May 2012

Menakik Seni ; Murtad!

Naratif dalam novel ini, dimulakan dengan sesuatu yang kelihatannya seperti tidak ada langsung kaitannya dengan tajuk sekaligus konsep buku ini. Ia nya bercerita tentang pergolakan yang dialami oleh seorang pegawai British ketika Sabah sedang menunggu waktu untuk memeluk Tanah Melayu untuk sama-sama digelar Malaysia. Pergolakan yang dialami olehnya, adalah disebabkan oleh perangai sudah tahu tempat oleh pegawai bawahannya, yang juga anak bumi Sabah sendiri. Perangai ini membuatkan dia tidak lagi dihormati oleh pegawai bawahannya itu. 

Terdapat momen yang menggambarkan pernyataan ini, di mana pegawai bawahannya itu, menelefonnya dan memberitahu bahawa dia sedang outstation dan berpesan agar segala urusan pejabat dijalankan dengan sempurna. Bayangkan saja, seorang pegawai dari British, sang penjajah sedang diberitahukan tepat-tepat pada mukanya untuk behave himself bilama pegawai bawahannya, sang dijajah, sedang ada kerja luar, malah tujuan kerja tersebut adalah untuk berbincang mengenai pemelukan Sabah dengan Tanah Melayu, yang mana akan menyebabkannya hilang jawatan kerana pegawai bawahannya itu yang akan menggantikannya nanti! 

Ini memang momen yang sedang dengan lantang memberitahukan bahawa British tidak lagi diperlukan dalam negara ini, seperti ada sosok suara yang berkata ; Kitaorang dah boleh setelkan hal-hal kitaorang, kauorang dah boleh berhambus dari muka bumi ini. Sebab bumi ini hakmilik kami! 

Selain itu, pergolakan berlaku kerana dia sudah terlajak dengan seorang gadis pribumi Sabah, yang sudah menang pertandingan ratu apa-entah untuk dua kali berturut-turut. Pergolakan berlaku kerana gadis tersebut sudah bunting, dan menurut undang-undang pribumi, dia wajib menikah. Dia tidak boleh, kerana kekasihnya Irene Smiths sedang menunggu di tanah airnya. 

Sekali lagi, titik kelemahan sang penjajah ini dikoyakkan dengan lebih lebar, bilamana dia tewas dengan ugutan gadis pribumi Sabah tersebut selain menggigil habisan bilaman dia harus pergi menghadap keluarga gadis pribumi Sabah tersebut. Sebelum berjumpa, dia digambarkan sedang berkhayal tentang dia yang akan 'disembelih' oleh keluarga tersebut, hanya kerana dia melihat terdapat ramai orang sedang mengerumuni rumah tersebut. Maruahnya sebagai sang penjajah yang digambarkan sebagai gagah, dan perkasa, sedang dipijak-pijak hanya dengan imaji yang berlaku depan matanya -- belum pun ada aksi fizikal.

Cuma yang aku tidak gemar adalah apabila, untuk menggambarkan sopannya pribumi Sabah, keluarga gadis tersebut digambarkan terlalu "menyembah" pegawai tersebut. Mungkin ini adalah usaha penulis untuk membezakan gradien pemikiran masyarakat yang terdedah (pegawai bawahan) dan yang tertutup (orang kampung).

Tajuk dan konsep buku hanya disingkap perlahan, jauh selepas pegawai tersebut dan gadis pribumi Sabah bernikah dan larut dalam cinta. Ketika inilah, hal murtad, disentuh.

Agama jadi alat untuk dia memastikan kuasanya dikekalkan di jabatan tersebut. Dia peluk Islam, dengan nama Daud Atkinson, bersama-sama isterinya, Hajar (kalau aku tak khilaf). Dengan begitu, kuasanya dijamin malah semakin melebar. Fakta bahwa dalang di balik pemelukannya ini adalah sahabatnya sendiri, seorang pegawai British lain, adalah simbol bahwa sang penjajah ini bijak dan punya ego besar. Mereka takkan ambil kisah langsung tentang apa-apa selagi kuasa masih digenggaman.

Selepas itu, dibantu oleh pegawai besar pribumi yang mengIslamkannya, dia menginjak tangga kuasa satu persatu. Sifirnya mudah, dia muallaf maka harus dibantu. Lebih-lebih lagi, dia diiktiraf berkaliber hanya kerana dia orang barat. Ironinya, pengiktirafan ini didapatkannya hanya setelah dia jadi Muslim. Jadi ya, walaupun dia kelihatan sedang menggunakan agama, hal sebaliknya juga boleh diaplikasikan padanya kembali. Tuhan Maha Perancang, anyone?

(Dan ini juga salah satu cara sang penulis untuk gambarkan kuatnya solidariti antara Muslim, walaupun dalam masa sama sang penulis sedang menempelak mereka yang mabok kepayang dengan kuasa. Aaa, indahnya.)

Namun, setelah pegawai besar pribumi jatuh ditabrak kuasanya sendiri, dia ditarik sama. Tangga kuasa yang didakinya dengan selesa runtuh tak semena-mena. Dia lari dengan kekasih di Britishnya dulu. Hajar dipenjara gara-gara cemburu. Anaknya lahir di penjara tanpa sempat dia tatap prosesnya.

Anak ini diberi nama Yusuf Atkinson. Darah muda, namun pejuang Islam dengan sikap tegas (yang diterjemah dengan kata-kata). Mengikuti perjalanan Yusuf mencari ayahnya, Daud Atkinson yang dia risau murtad, menemukan kita dengan hal-hal yang mungkin tidak kita sedar berlaku lama dulu. Ia itu, kebangkitan Islam.

Kita dibawa Yusuf menelusuri pandangan-pandangan yang berbeza mengenai kebangkitan Islam. Ada disentuh tentang darah panas anak muda, dan tenang fikir orang lama. Ada disentuh tentang hormat dalam ketegasan, dan bangun menentang dengan dialog, bukan senjata. Walaupun aku tidak berapa setuju dengan pendapat Yusuf, namun cara penulisnya membentangkan ideanya sendiri lewat Yusuf, sedikit mengesankan. 

Aa, ketidaksetujuan aku pun berdasarkan realiti kini yang kontra dengan apa yang diharapkan Yusuf. Ya, utopia penulis berkenaan kebangkitan Islam tidak menjadi pun. Ha ha. 

Pengakhirannya dramatik, dan mencadangkan pada kita, bahwa agama walau betapa ingin kita permainkan, akan pusing balik terkena kita juga. Maka, jaga-jaga!

Labels: