Sigar & Api

Wednesday 9 May 2012

Menakik Seni ; Pecah.

Novel ini terlalu lambat memikat aku. Premis ceritanya, yang ditawarkan lewat sinopsis di belakang kulit buku, tidak berapa memikat. Apatahlagi bila aku punya senarai keinginan yang agak panjang bagi buku, maka novel ini yang (gagal memikat aku, tapi) selalu aku perasan kelibatnya di kedai-kedai buku mana yang aku pergi, tidak juga aku layan.

Sehinggalah seorang kawan datang, lalu memuji melangit novel ini. 

Aku yang ketika itu kebosanan kerana sudah hampir habis sumber bahan bacaan, terus keluarkan dua puluh (20) Ringgit Malaysia untuk buku ini.

Yang mengecewakan aku, ini generasi pertama novel Fixi, yang mana bermaksud, kertasnya berwarna putih, tidak kuning. Ini jugalah yang bikin nafsu aku mati pada buku ini. Fetish aku tidak terpenuhi. Ah, nasib baik kawan itu boleh dipercaya kadar pembacaannya. Maka aku belilah juga.

Dan syukur ke hadrat Tuhan. 

Novel ini sedikit pun tidak mengecewakan. Dan novel ini, mungkin yang terbaik pernah aku baca dari Fixi. Jalur bahasanya memikat. Penulisnya bikin fusion bila setiap aksaranya pekat aroma dari bahasa melayu era romantika, sedang ia tidak kecewakan kita kerana slanga dan bahasa celupar kita turut dimasukkan. Perasaannya bila cuba bayang tentang aksaranya, seperti baca Usman Awang -- mungkin. 

Jalur ceritanya pula penuh cemas, dan debar. Emosi pembaca digaul dengan sebati. Segala satah perasaan yang ada pada seorang manusia, dipermainkan dengan cermat oleh penulis. Tidak ada yang keciciran di tengah jalan, atau di longkang-longkang cerita. 

Jalur wataknya juga sama, dibangunkan dengan cukup saksama. Persoalan tentang siapa, kenapa dan apa, dijawab dengan hampir sempurna. Sipi-sipi lagi dan penulisnya aku berikan markah lagi 10 markah. Atau memang sudah diberi 10 markah itu, namun kesempurnaan kadang adalah jalan kepada kehancuran, kan. Maka lebih baik berhati-hati. Aku mahu lebih lagi dari penulis ini.

Jalur seks (untuk novel di bawah Fixi, jalur ini perlu dibincangkan sekali), penulisnya memang bijak bermain aksara. Dilapikkan, walau hanya dengan sehelai plastik separa lutsinar. Namun, kalau mahu dibanding dengan novel Fixi yang sudah aku baca (tolak Cekik, Dendam, Tabu, Kougar, dan empat (4) buah buku baharu mereka), Khairulnizam Bakeri-lah yang paling berjaya bermain wayang kulit bila menyentuh jalur ini. Maka, syabas barangkali, kerana setidaknya mereka yang kebabian bila jalur seks ini diadakan di dalam sebuah naratif, akan sedikit tenang-- sekali lagi, barangkali.

(Ah, sekurang-kurangnya, mereka cuma perlu urut dada, atau terbatuk beberapa kali, tidak seperti novel Fixi lain yang turut menyentuh jalur seks, di mana mereka perlu ambil api, dan siram novel tersebut dengan minyak tanah. Ha ha!)

Seperti yang sudah aku nyatakan, aku nantikan karya seterusnya dari penulis kerana novel ini pun sudah bikin aku terpikat. Dan syukur sebab aku lambat ke situ, sekurang-kurangnya aku tidak tergesa-gesa dalam habiskan. Bak kata kata-kata viral, aku boleh bawa bertenang, dan baca PECAH.

Labels: