Sigar & Api

Wednesday 16 May 2012

Sekadar Cuplikan.

Perhentian bas cuma termuat dengan (4) orang manusia ketika itu. Dua darinya adalah dia, dan sang pelengkap jiwa. Waktu sudah terakam pada minit ke (20) dan jam (10). Waktu-waktu begini, bas tidak akan singgah pun mengambil penumpang. Lumrah, kerana ketika ini, tidak banyak yang menunggu, yang mana memberi erti kepada pemandu bas, bahawa tidak ada untung pun yang akan dijana nanti. Benarlah tanggapan itu, lihat saja jumlah manusia yang ada di sini sekarang.

Malam-malam begini, cuaca sejuk. Angin pun meniup-niup. Tubuhnya yang hanya disalut dengan sehelai baju kurung buatan sutera, pastilah akan digigit oleh suasana sebegitu. Apatahlagi sang pelengkap jiwa, dibalik gagah postur tubuhnya itu, ada gigil yang terserlah -- walau hanya pada matanya dia.

Dia keluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sehelai selendang merah, tebal buatannya. Disarung pada tubuh sang pelengkap jiwanya. Diatur kemas-kemas pada bahu. Tatkala dia sedang mengatur letak selendang itu pada bahu kiri sang pelengkap jiwanya itu, dia rasakan kulit tangannya hangat.

Dia senyum. 

Matanya melihat saja renung mata sang pelengkap jiwa. Lama dia biarkan tangannya itu disangkut pada bahu itu. Sehinggalah mata itu melarikan pandangannya ke hadapan, dengan senyum dibibir, dan dia pun merehat kepala ke bahu sang pelengkap jiwanya.

Bunyi enjin tiba-tiba menderu. Ada suluh lampu silau dari jarak (50) meter. Dua manusia tadi, yang satunya perempuan berlitup penuh, dan seorang lelaki berpakaian formal, kedua-duanya bangun berganjak dari tempat duduk. Ada riak lega pada wajah keduanya. Dari tadi pasti resah, sedikit-dikit dikerling jam tangan -- dililau pandangan. 

"Ah, sudah tahu jam segini tidak ada bas mahu lewat, masih juga pilih terlambat," bisik hati kecilnya.

Mujur keajaiban ini tiba. Entah apa gila sang pemandu hingga sudi membazir minyak dan waktu untuk mengambil penumpang tiada untung, dia pun tak tahu. 

Namun dia sebenarnya tidak peduli. Dia dan sang pelengkap jiwa hanya mahu duduk di bangku perhentian bas ini. Bas ada atau tiada, bukan urusannya. 

Labels: