Sigar & Api

Saturday 12 May 2012

Namanya Sophia.

Namanya Sophia.

Pertama kali aku jumpa dia, dan ba dum dush! -- aku terkesima. Dia cantik. Tapi, sekarang ini, di gradien rasa ini, aku tidak dapat terangkan dengan jelas bagaimana cantiknya dia -- walaupun dia selalu benar terbayang di dalam fikiran aku. Cuma, dia cukup cantik. 

Tapi itu sebenarnya, aku kira, biasa saja untuk aku. Adalah normal untuk lelaki yang namanya Adi ini, untuk terkesima melihat perempuan cantik. Itu biasa. Dan aku pun, tidaklah ada rasa menggedik mahu memikat dia, perasaan itu tidak datang, ianya tersangkut di tahap terkesima. Tidak mahu bergerak ke depan. Tapi tidak juga ingin meloncat ke belakang. Ia terapung-apung di tengah keduanya. 

Dan aku tidak ada masalah dengan itu. 

Namanya Sophia. 

Walaupun dia cantik, tapi dia petite. Tidaklah terlalu petite, tapi petite-lah. Ini, penambah perisa kepada kecantikan dia, ini bikin dia comel, dan orang comel ini, menurut pegangan aku, adalah orang yang sekaligus cantik. Kenapa? Sebab tidak semua orang cantik adalah comel. Jadi, vice versa kepada fakta itu, aku bikin pegangan aku yang tadi. Aha.

Namanya Sophia, dan dia comel.

Proses perkenalan kami berjalan lancar, fakta-fakta sampingan tentang kami jadi minyak pelincir kepada proses tersebut. Baguslah, sebab aku selalu fikir, orang cantik ini sombong. Eh, dia comel, dan orang comel ini biasanya mesra. Aha!

Namanya Sophia, dan dia mesra.

Bila berbual dengan dia, pasca-perkenalan kami, dia kata aku sombong. Satu resiprokal kepada pandangan orang lain terhadap aku. Aku jadi mangli, dan kata ; aku bukan sombong, aku ni pemalu je. Lalu dia gelak, katanya ; orang macam kau ni pemalu? Ceh! Aku pertahankan kata aku, dan balas ; ye, aku ni pemalu. Dia gelak lagi, dan tambah kata ; kau tu tak malu, asik buat lawak je manjang, pemalu apanya! Aku naik kening, dan tanya ; so, aku ni kelakarlah ya? Kemudian dia angguk. 

Namanya Sophia, dia comel, dia mesra, dan dia kata aku kelakar.

Hmm... Macam licin banget je perhubungan kitorang lepas ni.

Labels: