Sigar & Api

Saturday 19 May 2012

Menakik Seni ; Chow Kit.

Aku pernah terbaca sebuah komen yang mengatakan, bahawa selepas Bunohan (2012), Chow Kit (2012) akan jadi the next big film. Aku awal-awal lagi sudah kurang setuju.

Dan terbuktilah bila aku berjaya curi waktu aku untuk tonton filem ini di pawagam, selepas (2) minggu ia ditayangkan. Memang benar ini bukan filem terbaik selepas Bunohan. Dekat pun tidak. Tapi niatnya jelas -- ianya murni, sama seperti Bunohan juga. Bagaimana aku tahu? Well, siapa nak bikin filem dengan premis begini -- yang langsung tidak popular. 

Filem ini terbahagi kepada (2) bahagian, Kisah I dan Kisah II. Walaupun terpisah, ianya punya kaitan. Mungkin ini cara pembikin-pembikin filem ini ingin bagitahukan kepada kita bahawa walau terlalu banyak cerita di Chow Kit ini, setiap satunya ada kaitannya -- walaubagaimana caranya pun ianya boleh terkait, ia tetap punya kaitan.

Kisah I mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak kecil, yang terdiri dari anak-anak pelacur dan juga penagih, yang menjalani masa kecil mereka dengan cara mereka sendiri. Dan cara mereka sendiri ini, tidak ada terkait langsung dengan sekolah, semuanya tentang menghidupkan masa kecil mereka ini -- dan semuanya terkait dengan wang. Mereka menyamar jadi anak yatim, mereka minta sedekah, dan akhirnya mereka jadi bijak, mereka meniaga. Semuanya atas satu tujuan -- membeli sebiji bola original. Ini saja sudah bagi gambaran bahawa anak-anak kecil di Chow Kit ini harus mandiri. Mereka berusaha mencari wang bukan sekadar kerana suka-suka tapi kerana terpaksa. Mereka tidak ada jalan lain kecuali itu. Mereka bukan anak dari Damansara, mereka anak Chow Kit. Tapi apa pun, disebalik tindakan mereka ini, pembikin kisah ini dah bagitahukan kita satu hal penting, anak-anak dari mana pun, mereka tetap punya naluri keanak-anakan. Cuma cara mereka meraikan naluri itu saja yang berbeza. Anak Damansara mungkin disuap, tapi anak Chow Kit harus usaha. 

Yang aku kurang senang dengan Kisah I ini adalah, kegagalan pelakon kanak-kanak yang menjadi aksi utama untuk menzahirkan emosi mereka. Banyak babak, yang jika emosi mereka ini berjaya dimanipulasikan dengan betul, akan beri impak besar kepada penonton -- khusus aku. Contohnya bila dua beradik yang ber-ayahkan penagih (lakonan Nam Ron) tinggal di bawah jambatan berumahkan kotak -- si adik demam dan si abang ikut sengsara melihat sengsara si adik. Jika babak ini dijalin dengan emosi yang betul, penonton akan ikut sengsara sama. 

Tapi anehnya, aku tidak berapa mahu komplen tentang kekurangan ini, sekadar pemberitahuan. Mungkin sebab aku sedar ini tanggungjawab berat kepada mereka. Hatta kalau kita beri watak-watak ini kepada mana-mana aktor/aktres kanak-kanak lain yang katanya oh sem -- Miasara sebagai contoh, ia akan tetap beri impak sama, entah-entah lebih kontang. Lagipula aku dengar, para aktor/aktres kanak-kanak di dalam filem ini diambil mentah dari Chow Kit sendiri. Moleklah tu.

Kisah I juga pada aku vulgar dialognya, dan cantik muziknya. (Padahal penulis skor lagu untuk kedua-dua kisah sama saja, ha!)

Muzik latar filem ini, sebagai contoh Mati Hidup Kembali oleh Butterfingers betul-betul hidup. Tak macam Songlap yang mana muzik latarnya bagi aku kasi kacau, muzik latar filem ni pada satu titik menyelamatkan filem ini sendiri. Pergh. 

Dialog kesukaan aku dalam filem ini adalah (sekaligus menyimpulkan segala takikan aku dari tadi); Kau ingat ni kat mana, Damansara? Heh. Kalau dia tak tengok tetek aku, dia tengok tetek orang lain jugaklah!


Vulgar gila, beb!

Menjenguk saja Kisah II, aku diserbu sebuah perasaan yang sama bila aku menontoh telefilem di slot Cerekarama TV3. Entah kenapa, mungkin syotnya, mungkin moodnya, entahlah, tapi inilah yang aku rasa. Dan rasa ini tidak ada di Kisah I tadi. Malah, pendapat aku, Kisah I lebih kuat berbanding Kisah II ini. Ada yang tidak lengkap pada bahagian kisah ini. Semangatnya tidak berapa membara seperti Kisah I. Ianya kekurangan sesuatu. Ia nya terlalu kacau bilau, barangkali.

Sedangkan Kisah II ini disokong oleh seorang aktor dan aktres yang tidak main-main -- Dira Abu Zahar dan Beto Khusyairi. Mereka ini ada sesuatu dalam jiwa mereka. Malangnya Beto Khusyairi tidak diberi peranan yang memberi impak. Persahabatan rentas kaumnya dengan seorang lelaki Cina tidak berapa mendalam. Solidariti antara mereka tidak nampak, terlalu dirasa dibuat-buat. Tapi kehadiran Dira walaupun sekejap-sekejap, tapi impaknya ada. Keputusannya untuk menyelamatkan sahabatnya dengan cara yang merosakkan mereka berdua dalam jangka pendek tapi menyelamatkan mereka dalam jangka panjang sangat oh sem. Walaupun ada penonton yang aku rasa tidak suka. Ha ha. 

See, aku hilang fokus untuk difikir tentang Kisah II ini disebabkan perasaan telefilem itu awal-awal merasuk aku-- jadinya aku tidak berapa inzal dengan Kisah II. Jadi terlebih fokus kepada aktor/aktresnya pula. Dasar pentakik tak guna. Ha ha.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Apa pun, aku mahu ucapkan terima kasih kepada pembikin-pembikin filem ini, walaupun aku banyak komplen, aku tetap rekemenkan filem ini untuk ditonton. Kalau kawan tanya pendapat aku, aku akan jawab ; OKlah. Walhal kebiasaannya untuk filem yang ditayang di pawagam (hatta rilisan Hollywood pun) aku akan kata ; Kurenglah beb. Ha ha.

Labels: