Sigar & Api

Thursday 31 May 2012

Pasca Percaya.


"Bila," katanya dengan sigar melekat di pada bibir merahnya, "aku sudah pilih untuk tidak lagi peduli. Maka aku," katanya lagi sambil menyalakan sigar itu dengan api dari pemetik kaca, "akan jadi manusia paling tidak peduli dengan apa pun."

Sehabis dia berbicara, kepul asap sigar terapung lalu terbang sebati dengan udara, setiapnya berlaku secara pelan, pelan.

"Bunuh mana2 manusia yang selama ini masuk di dalam daftar kenalanku, dan aku akan ketawa terbahak. Kudungkan anggota tubuh mana-mana antara mereka, dan aku senyumkan dengan mesra. Khabarkan yang jelek2 tentang mereka, dan aku akan hantarkan ucap tahniah," katanya lagi bila aku cemekkan muka dengan pernyataannya tadi, kerana aku tahu dia bukan apa yang dia sudah katakan.

Namun, mendengar dia mengukuhkan kata-katanya sebelum itu, bikin aku telan liur yang melimpah. Tidak percaya dengan emosinya yang sungguh tegar, bila bibirnya melaju sebutkan hal-hal yang serasa aku, kejam. Lebih-lebih lagi, tidak percaya, lelaki seperti dia, yang sudah terbukti salah satu jenis manusia yang peduli-namun-tidak-akan-digebangkannya-lewat-kata-tapi-tindakan, berkata sedemikian rupa.

"Manusia-manusia itu sudah bunuh mati rasa yang selama ini aku hijabkan khas buat mereka. Percaya ku diremukkan. Hatiku dijerut kejam. Maka beritahukan aku, bagaimana harus aku peduli dengan manusia sebegitu?"

Aku bungkam mendengar kata-kata akhirnya sebelum keluar dia langkah keluar dari toko ini. Syiling dan wang kertas yang dia lampirkan buat membayar setin minuman keras, dan sebungkus roti inti ikan bilis, aku ambil dengan getar. Tak percaya menyeluruhi seluruh genap nadi tubuh. 



Malam yang hitam itu aku maktubkan sesuatu dalam kepala ; betapa persahabatan yang salah laluan, bisa melampiaskan wajah sebenar seseorang. Syukur aku ini mahluknya yang senang sendirian. Syukur.

Labels:

Wednesday 30 May 2012

Memaknakan Kembali Kata.

"KAWAN"

Kadang-kadang, yang aku takutkan bila berkawan ialah bila aku letak percaya yang terlalu, dan ikat hati aku dengan manusia-manusia ini, ketika itulah percaya aku diremuk, dan hati aku dijerut. Sakitnya, demi Tuhan yang aku sekarang ini semakin abaikan, tak tertanggung.

Sebab mereka ini istimewa. Maka bila dilakukan aku sebegitu rupa, aku jadi takut. Pengalaman dulu-dulu tentang manusia-manusia yang sama tapi beza, yang mulanya kian rengsa kembali memekar semula. Mekarnya bikin pedih. Dicucuk oleh duri yang melingkari. Diracun oleh harum yang menipu. Dibutakan oleh cantik yang jelik. Setiapnya kasi aku rasa yang aku sungguh-sungguh tak suka, kerana pengalaman ajarkan aku bahwa tidak ada yang molek tentang manusia-manusia ini. Semuanya menipu. Semuanya sementara. Tidak ada yang benar-benar mahu menjalinkan persaudaraan atas dasar persaudaraan itu sendiri. 

Makanya, tatkala percaya aku diremuk, dan hati aku dijerut oleh manusia-manusia istimewa ini, aku seakannya takut dan mahu mengamuk. Amukku, bodohnya, adalah dalam diam. Tidak ada yang tahu, tapi akan ada yang rasakan. Aku memang jenisnya tidak suka cerita depandepan, tapi tidak juga akan cerita belakangbelakang. Aku simpan. Aku pendam. Aku jerukkan. Sampai nanti jadi busuk, jadi gelembung, dan pop! Aku pecah. Sekali lagi, pecahku, aku seorang saja yang akan tahu, tapi akan ada yang rasakan.

Maka ketika itu, setiap ketawa, setiap perkongsian, setiap apa pun yang pernah dilakukan bersama, aku abaikan dan aku matikan. Kemudian baliklah aku titik pertama. Menjadi sendiri, semula. Tidak apa, aku habiskan masa-masa aku membesar juga sendiri. Jika itu takdirku, maka akan aku terima. 

Dengan pahitnya.

RAHMAT.

Labels:

Seksaited Buku (yang ter-) Mati.

Dulu.

Masa tu, ai rasa, ai rasalah umur ai baru saja cecah Manis 18, di mana segala sumber kewangan adalah dari bapak dan emak. Lumrah, perbelanjaan keluar ai menggunakan duit yang diberi emak dan bapak akan dipantau secara tidak ketat tapi tidak juga longgar -- bergantung juga. Kalau ai berjimat semata demi hal-hal menyangkut pelajaran, emak dan bapak ai tak kisah banget pun, malah derang siap support dari segi moral dan kewangan lagi. Tapi kalau hal lain, komik misalannya, maka ai akan terimalah padahnya. Kui kui kui.


Masa tu, ai rasa, ai rasalah umur ai baru saja cecah Manis 18, di mana sumber kewangan adalah dari bapak dan emak yang tidak ketat tapi tidak juga longgar pemantauannya berkenaan aliran keluar duit ai, lalu di usia ai ketika itu, ai secara impulsifnya beli buku secara dalam talian!

Peh! Tak pernah dibuat oleh seorang ai. Barang tak dapat dipegang, dibelek, cuma mampu ikut rasa hati tapi pegi beli. Apa punya gila lah kan?

Betul-betul seksaited masa tu >.<

Sudahlah segala urusan dikejadiankan di cyber cafe, dari scan/upload kertas resit bank-in, sampailah menunggu perkhabaran dari penerbit pasal hal ehwal buku tu. Perasaan masa tu adalah dub-dab-dub-dab, ai takut juga kalau buku tu cumalah mitos alamaya dan ai sebagai seorang manusia inesen, ditipu hidup-hidup oleh kapitalis yang celaka perangainya. Seminggu, atau dua minggu ai nantikan ketibaan buku tu ke pintu rumah. Ai langsung tak cakap dengan emak hal ehwal pembelian buku ni. Takut benar emak marah. Kalau emak marah, bapak konfem tahu, peh, bapak tahu, konfem berdesing telinga. 

Dan hal-hal yang mendesingkan telinga ni adalah perkara yang tidak elok untuk seorang remaja darah muda seperti ai ni. Jadi, ai diamkan. (Eleh)

Mujur.

Mujur seminggu kemudian buku tersebut sampai. Ai tak pasti buku yang ai beli dulu, dari Sol-jah atau Sang Freud Press, tapi memang happy kebabom lah dapat buku tu. Emak pun rilek je bila dapat tau, tanya sikit-sikit je, dan setel. Bapak pun tau, dan dia cuma bagi jeling garang sikit je. Acah-acah je sebab ai gadai duit belanja nak beli buku. Ke ke ke.

Kemudian, ai semangat dan beli lebih banyak buku secara dalam talian. Banyak jugalah. Tak terhitung dek ingatan ai yang tak berapa oh shem ni.

Dan setakat ni, buku AweksKL, Dua Lauk, dan STABIL je tak sampai dalam tangan. Entah kena rompak dek posmen, atau, kena rompak dengan tukang hantar surat, atau kena ragut dengan abang ganteng bermisai garang, atau salah alamat. Hm. Salah alamat kot.

Ai kan duduk hutan. Heh.

Labels:

Monday 28 May 2012

Bajingan.

Dan bila kau sudah naik kepala atas dasar kau dan mereka itu kawan, itu tandanya kau sudah daftar masuk diri sendiri untuk jadi manusia bajingan. Dan bajingan macam kau, tak layak ada kawan. Sila jadi leprechaun, dan meninggal, bajingan.

Labels:

Saturday 26 May 2012

Baraikan Logika Aristotles!

“ Matinya Teoh Beng Hock sama ada
Tercekik kata-kata
Atau jatuh ditolak manusia

Tetapi Teoh Beng Hock tidak tercekik kata
Tidak juga jatuh ditolak manusia

Maka Teoh Beng Hock tidak mati. “

Dan pensyarah ku pun terkesima
Tidak percaya
selain Isa
Aristotles juga
Bisa
Menghidupkan semula manusia
Yang sudah disah mati
Tanpa perlu bertransformasi
Jadi seekor zombi.

Labels:

Friday 25 May 2012

Sekumpulan Cerita.

Di bawah ini adalah sekumpulan cerita yang sudah dikumpul-kumpul untuk beberapa lamanya selepas digantung tak bertali di laman sosial yang paling overrated masa kini. Dibiarkan tak bertajuk kerana cerita ini cerita segera. Ditaip kekadang tanpa niat pun untuk dijadikan sebuah naratif. Maka, kalau kamu ini jenisnya cerewet ingin bertajuk, bolehlah kamu fikirkan dalam kepala tajuk untuk setiap cerita. Ya, silakan.

--------------------

Katanya, lepas aku bagi dia briefing filem Gubra, "...tak berapa deep aa bang! Saya.. saya.." katanya lagi sambil tergagau mencari perkataan yang sesuai untuk gambarkan apa yang dia nak, barangkali, "..nak something yang..."

Tepat-tepat lepas dia habiskan ayat dia aku dah pelempang. Dasar hipster jalang. Kau nak deep sangat kau pegi terjun lautlah. Cilake! 

Kemudian, tepat-tepat (5) minit kemudian, "Deep, deep, kepala pungkoq hang!" jerit aku ke dia yang sedang terkapai-kapai mengukur ke'deep'an laut China Selatan.

Sambil-sambil tu aku kira dalam kepala stok kretek aku tinggal berapa. 

-------------------

"Aku tak faham," katanya sambil sedut-sedut hujung kretek yang tinggal suku nak jahanam, "..macam mana aku boleh jugak paksa diri untuk menulis."

"Padahal kau bukan boleh menulis pun kan," sambung aku selamba tanpa ambil pandang pun reaksi dia. Tapi aku dengar bunyi 'tsskkk' lah dari bibir dia.

Lepas tu aku dengar juga tapak kaki yang berlalu jauh dari tempat tonton tivi kitorang. 5 minit macam tu, dan aku dengar bunyi laptop dibunyikan. Siap ada bunyi tulang dikasi patah-patahkan.

Aku senyum. "Nak motivasi stail anggur dan bir jangan mintak dengan aku lah, aku bagi duri dengan api je, bhai," gumam aku sambil hirup nescafe godak susu Fernleaf aku.

------------------

Aku tak faham, dia punya laman blog yang sudah cecah hingga (80) juta klik, hanya selepas (2) tahun bermula. Catatan-catatan di dalam blognya sudah dibukukan sebanyak (2) kali. Dan isi-isi catatannya semua bukan main-main. Ada isi, dan yang penting, menurut kebanyakan peminatnya, ada jiwa. 

"Aku hanya pembesar suara, bukan penulis," ujarnya untuk kali yang ke berapa, aku pun tidak pasti. Cumanya sekali ini lebih lantang. Gagak yang sedang enak menyelam dalam sisa-sisa makanan turut terbang ke awan yang makin hitam. Mungkin, fikirku, mungkin kerana selepas dia dihentam teruk oleh pengkritik paling diawasi kritikannya, En. Bose, yang mengatakan catatan-catatannya kontang emosi dan hanya menggula-gulakan pembaca yang sudah sedia buta. Selepas kritikan itulah dia makin perlahan dalam menulis, dan akhirnya dia, tanpa amaran atau apa-apa, berhenti. Peminatnya yang ribuan mencari. Namun, selepas (1) bulan menunggu kepulangannya, mereka jadi bosan. Apatahlagi mencambah penulis-penulis lain bak cendawan disiram hujan. Dan, genap (3) bulan, dia dilupakan. Tidak ada lagi catatan tentang dia, atau sosek-sosek di laman-laman manusia lain. Dia sudah diganti. Dia sudah dilupa.

Tapi tidak aku, dia aku jejaki sungguh-sungguh. Akhirnya selepas (3) bulan mencari, aku jumpa dia di sini. Di lorong belakang bangunan. Kotor, dia berkongsi tempat dengan segala mahluk menjijikkan. Makan minumnya cuma sisa-sisa yang diberikan oleh pekedai yang 'bermurah hati'. 

"Aku sudah jadi penghuni alam," katanya kali pertama bertemu, hapak tubuhnya buat aku menggosok-gosok pangkal hidung, "aku tidur berkasurkan bumi, dan, dan!" katanya girang, sambil menuding ke atas, "bumbungku langit!" Aku angguk kepala tanda mendengar, tapi dia tampaknya tak peduli apa pun reaksi ku, terus saja sambung tanpa dipinta, "temanku sekarang ini mereka," seraya mengusap-ngusap seekor anjing dan kucing, selain menuding pada tikus montok yang berlarian di celah longkang, "mereka terima aku apa adanya. Mereka," katanya lagi dengan senyum seringai, "adalah manusia sebenar sekarang! Bukan.." katanya tergelak girang, "...lagi kita!" 

Girang. Dia memang girang. Habis aku ucapkan terima kasih, langsung dia ketawa tak habis sambil kembali mencanting bibirnya dengan kata-kata itu -- AKU SUDAH JADI PENGHUNI ALAM!


------------------


"Entah," jawab aku lemah dan ego, rasanya, bila dia tanya apa masalah aku. "Kau takde keyakinan, bodoh!" dia jerit betul-betul ke muka aku yang dia palingkan dengan genggam jarinya pada kedua bahu aku. "Kau tengok orang hebat sikit, dan kau jadi layu, kau," katanya lagi dengan mata menyala, "jadi ragu dengan upaya sendiri, kau ni," sambungnya tak putus dengan bukaan bibir aku yang hendak berkata, "bodoh nak mampus!"

Patutnya aku berang, aku jatuhpaksakan genggam jemari dia di bahu aku. Kemudian aku tarik kolar baju dia, dan acungkan penumbuk yang dikepal dengan amarah, dan tumbuk muka dia sepuas hati, hingga dia tumbang dan merayu. Tapi aku takkan puas, dia calitkan aku dengan kata-kata bodoh, mana nak letak maruah aku. Jadi aku akan terajang dia hingga dia terkutik tak bergerak.

Tapi tak, aku tak buat apa-apa. Aku cuma tunduk. Biarkan alir jernih mengempang pada pinggir mata. Nyala mata dia terlampau marak bila dia kata itu ke aku. Aku, aku, tak mampu tidakkan kata-kata dia.

Aku memang lemah, dan bodoh.


------------------

Labels:

Wednesday 23 May 2012

Singkat Yang Kerap.

"Jadi..." kata aku sambil browse satu-satu senarai yang dipapartayang di skrin, "nak tengok movie mana ni..." kata aku lagi sambil toleh ke dia, "sayang?"

P.s- ;-)

Labels:

Monday 21 May 2012

Sajak & Suara ; Secebis.

RUMAH by BukanMalaikat

Selamat hari jadi buat bapak, yang naiknya pada 13 Mei. Aku ambil masa ucapkan disebabkan mahu bacakan sendiri sajak yang aku bikin ketika kenang bapak dulu. SoundCloud rupanya mencabar. Apa pun, ini hanya secebis yang mampu aku lakukan. Takkan dapat pun bayar balik pengorbanan bapak, dan emak. Sayang betul rakaman pertama dulu aku tidak simpan gara-gara bebal handle SoundCloud. Tak apa, ini ikhlas. He he. Akhir kata -- Bapak ; I Love You! ;-)

Labels:

Di Balik Cermin.



"Kalau kau tak puas hati," katanya sambil angkat lengan kanan dan keluarkan jari tengahnya dari genggaman, "...pegi mampus!" Aku cekak pinggang saja lihat perlakuannya. Ini sudah (34) kali dia marah-marah cermin, untuk hari ni saja. Kalau ditambah-tambah dengan hari lain, tak terkira rasanya.

"Tak bosan ke asik buat gini je?" aku tanya dia. "Diamlah, babi!" jeritnya sekaligus menjawab persoalan. 'Wow, sopan,' kata aku tergelak kecil. Pada masa sama, tergema bilik sifar dekorasi dan perabot dengan jeritnya itu. Cantik pula aku rasa bila suaranya saling terpelanting antara dinding-dinding yang membentuk kubikel kecil yang terisikan sebuah cermin dan dia seorang, lantas bikin suatu simfoni bunyi yang berlapis-lapis hingga menipis.

Aku pejam mata, nikmati cantiknya simfoni bunyi itu bila acah dia lagi dengan satu lagi persoalan yang dia balas dengan, hmm, sopan. Aku gariskan sebentuk senyum di bibir mengenangkan jawapannya itu. Hanya soalan KAU OK TAK NI, dan dia mencarut sehabis-habisnya dengan desibel tinggi.

Aku pilih untuk tidak peduli. Aku lebih mahu nikmati simfoni bunyi yang tidak habis-habis ini. Aku senyum lebih lebar. Namun senyumku mati bila dia pecahkan cermin satu-satunya di dalam bilik ini. Marahku meruap. Ini sudah melebih. Sampai bila aku harus pindah randah antara satu cermin hingga ke cermin yang lain. Sudahlah saiz pecahan cermin ini kecil-kecil belaka, tidak muat untuk aku. Pastilah tidak selesa. 

"Babi betul," gumam aku sambil melihat dia usahakan kembali cantumkan pecah-pecah cermin. "Beli baru jelah woi, mana boleh lekat lagi ni," saran aku. Dan segera dia lari keluar. Aku mencebik, masa-masa begini baru nak dengar cakap. "Tadi bukan main rebel," gumam aku lagi, sambil melihat-lihat pecah cermin mana yang paling besar, cermin yang aku duk lepak sekarang mini sangat. 

Labels:

Sunday 20 May 2012

Gadis Garang.

Kamu garang. Sangat garang. 

Sebelum kita declare kepada diri kita masing-masing bahawa selepas jam (4) petang, di hari Selasa, pada tarikh (4) haribulan (3) tahun (2012), kita adalah pasangan -- atau bahasa poyonya couple -- kamu sangatlah tidak garang.

Ya, memang kamu ada beri renung tajam kalau-kalau kamu tiba-tiba mahu bermain dalam pengertian kamu sendiri, atau kamu sedang bosan dan mencari jalan keseronokan -- tapi itu semua bukan tanda kamu garang -- langsung tidak. Itu aku panggil, bergurau. Aku pun selalu saja bergurau. Malah lebih teruk dari kamu. Ada yang jatuh susah hanya kerana aku mahu bikin sesuatu atas tiket gurauan. Tapi apa pun, renung tajam kamu bukan bukti kamu ini orangnya garang. Langsung tidak.

Tapi, selepas jam, tarikh, hari, dan tahun yang sudah aku sebutkan, kamu jadi sangat garang. Malah kamu nyatakan di laman Kicauan kamu, bahwa kamu ini seorang Gadis Garang. Kamu pun mengaku pada aku, bahwa kamu ini memang garang. 

"Tapi kat kau je," kata kamu pada aku lewat sms dan juga bual kita.

Aku senyum. Aku tak kisah pun. Sebab kalau Qi ada Yuna sebagai Gadis Semasanya, aku ada kamu sebagai Gadis Garang aku. Dan sungguh, aku bahgia kerana itu.

Apatahlagi semangat di sebalik kegarangan kamu itu adalah, kemanjaan. Kamu memang pemalu pun, aku tahu. Lagipun bijak juga kamu kan, berselindung di sebalik sifat garang tu. Ha ha. Apa pun, garang -- ianya jadi sangat manis bila dengan/dibikin kamu. ;-)

Labels:

Saturday 19 May 2012

Menakik Seni ; Murtad!

Naratif dalam novel ini, dimulakan dengan sesuatu yang kelihatannya seperti tidak ada langsung kaitannya dengan tajuk sekaligus konsep buku ini. Ia nya bercerita tentang pergolakan yang dialami oleh seorang pegawai British ketika Sabah sedang menunggu waktu untuk memeluk Tanah Melayu untuk sama-sama digelar Malaysia. Pergolakan yang dialami olehnya, adalah disebabkan oleh perangai sudah tahu tempat oleh pegawai bawahannya, yang juga anak bumi Sabah sendiri. Perangai ini membuatkan dia tidak lagi dihormati oleh pegawai bawahannya itu. 

Terdapat momen yang menggambarkan pernyataan ini, di mana pegawai bawahannya itu, menelefonnya dan memberitahu bahawa dia sedang outstation dan berpesan agar segala urusan pejabat dijalankan dengan sempurna. Bayangkan saja, seorang pegawai dari British, sang penjajah sedang diberitahukan tepat-tepat pada mukanya untuk behave himself bilama pegawai bawahannya, sang dijajah, sedang ada kerja luar, malah tujuan kerja tersebut adalah untuk berbincang mengenai pemelukan Sabah dengan Tanah Melayu, yang mana akan menyebabkannya hilang jawatan kerana pegawai bawahannya itu yang akan menggantikannya nanti! 

Ini memang momen yang sedang dengan lantang memberitahukan bahawa British tidak lagi diperlukan dalam negara ini, seperti ada sosok suara yang berkata ; Kitaorang dah boleh setelkan hal-hal kitaorang, kauorang dah boleh berhambus dari muka bumi ini. Sebab bumi ini hakmilik kami! 

Selain itu, pergolakan berlaku kerana dia sudah terlajak dengan seorang gadis pribumi Sabah, yang sudah menang pertandingan ratu apa-entah untuk dua kali berturut-turut. Pergolakan berlaku kerana gadis tersebut sudah bunting, dan menurut undang-undang pribumi, dia wajib menikah. Dia tidak boleh, kerana kekasihnya Irene Smiths sedang menunggu di tanah airnya. 

Sekali lagi, titik kelemahan sang penjajah ini dikoyakkan dengan lebih lebar, bilamana dia tewas dengan ugutan gadis pribumi Sabah tersebut selain menggigil habisan bilaman dia harus pergi menghadap keluarga gadis pribumi Sabah tersebut. Sebelum berjumpa, dia digambarkan sedang berkhayal tentang dia yang akan 'disembelih' oleh keluarga tersebut, hanya kerana dia melihat terdapat ramai orang sedang mengerumuni rumah tersebut. Maruahnya sebagai sang penjajah yang digambarkan sebagai gagah, dan perkasa, sedang dipijak-pijak hanya dengan imaji yang berlaku depan matanya -- belum pun ada aksi fizikal.

Cuma yang aku tidak gemar adalah apabila, untuk menggambarkan sopannya pribumi Sabah, keluarga gadis tersebut digambarkan terlalu "menyembah" pegawai tersebut. Mungkin ini adalah usaha penulis untuk membezakan gradien pemikiran masyarakat yang terdedah (pegawai bawahan) dan yang tertutup (orang kampung).

Tajuk dan konsep buku hanya disingkap perlahan, jauh selepas pegawai tersebut dan gadis pribumi Sabah bernikah dan larut dalam cinta. Ketika inilah, hal murtad, disentuh.

Agama jadi alat untuk dia memastikan kuasanya dikekalkan di jabatan tersebut. Dia peluk Islam, dengan nama Daud Atkinson, bersama-sama isterinya, Hajar (kalau aku tak khilaf). Dengan begitu, kuasanya dijamin malah semakin melebar. Fakta bahwa dalang di balik pemelukannya ini adalah sahabatnya sendiri, seorang pegawai British lain, adalah simbol bahwa sang penjajah ini bijak dan punya ego besar. Mereka takkan ambil kisah langsung tentang apa-apa selagi kuasa masih digenggaman.

Selepas itu, dibantu oleh pegawai besar pribumi yang mengIslamkannya, dia menginjak tangga kuasa satu persatu. Sifirnya mudah, dia muallaf maka harus dibantu. Lebih-lebih lagi, dia diiktiraf berkaliber hanya kerana dia orang barat. Ironinya, pengiktirafan ini didapatkannya hanya setelah dia jadi Muslim. Jadi ya, walaupun dia kelihatan sedang menggunakan agama, hal sebaliknya juga boleh diaplikasikan padanya kembali. Tuhan Maha Perancang, anyone?

(Dan ini juga salah satu cara sang penulis untuk gambarkan kuatnya solidariti antara Muslim, walaupun dalam masa sama sang penulis sedang menempelak mereka yang mabok kepayang dengan kuasa. Aaa, indahnya.)

Namun, setelah pegawai besar pribumi jatuh ditabrak kuasanya sendiri, dia ditarik sama. Tangga kuasa yang didakinya dengan selesa runtuh tak semena-mena. Dia lari dengan kekasih di Britishnya dulu. Hajar dipenjara gara-gara cemburu. Anaknya lahir di penjara tanpa sempat dia tatap prosesnya.

Anak ini diberi nama Yusuf Atkinson. Darah muda, namun pejuang Islam dengan sikap tegas (yang diterjemah dengan kata-kata). Mengikuti perjalanan Yusuf mencari ayahnya, Daud Atkinson yang dia risau murtad, menemukan kita dengan hal-hal yang mungkin tidak kita sedar berlaku lama dulu. Ia itu, kebangkitan Islam.

Kita dibawa Yusuf menelusuri pandangan-pandangan yang berbeza mengenai kebangkitan Islam. Ada disentuh tentang darah panas anak muda, dan tenang fikir orang lama. Ada disentuh tentang hormat dalam ketegasan, dan bangun menentang dengan dialog, bukan senjata. Walaupun aku tidak berapa setuju dengan pendapat Yusuf, namun cara penulisnya membentangkan ideanya sendiri lewat Yusuf, sedikit mengesankan. 

Aa, ketidaksetujuan aku pun berdasarkan realiti kini yang kontra dengan apa yang diharapkan Yusuf. Ya, utopia penulis berkenaan kebangkitan Islam tidak menjadi pun. Ha ha. 

Pengakhirannya dramatik, dan mencadangkan pada kita, bahwa agama walau betapa ingin kita permainkan, akan pusing balik terkena kita juga. Maka, jaga-jaga!

Labels:

Menakik Seni ; Chow Kit.

Aku pernah terbaca sebuah komen yang mengatakan, bahawa selepas Bunohan (2012), Chow Kit (2012) akan jadi the next big film. Aku awal-awal lagi sudah kurang setuju.

Dan terbuktilah bila aku berjaya curi waktu aku untuk tonton filem ini di pawagam, selepas (2) minggu ia ditayangkan. Memang benar ini bukan filem terbaik selepas Bunohan. Dekat pun tidak. Tapi niatnya jelas -- ianya murni, sama seperti Bunohan juga. Bagaimana aku tahu? Well, siapa nak bikin filem dengan premis begini -- yang langsung tidak popular. 

Filem ini terbahagi kepada (2) bahagian, Kisah I dan Kisah II. Walaupun terpisah, ianya punya kaitan. Mungkin ini cara pembikin-pembikin filem ini ingin bagitahukan kepada kita bahawa walau terlalu banyak cerita di Chow Kit ini, setiap satunya ada kaitannya -- walaubagaimana caranya pun ianya boleh terkait, ia tetap punya kaitan.

Kisah I mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak kecil, yang terdiri dari anak-anak pelacur dan juga penagih, yang menjalani masa kecil mereka dengan cara mereka sendiri. Dan cara mereka sendiri ini, tidak ada terkait langsung dengan sekolah, semuanya tentang menghidupkan masa kecil mereka ini -- dan semuanya terkait dengan wang. Mereka menyamar jadi anak yatim, mereka minta sedekah, dan akhirnya mereka jadi bijak, mereka meniaga. Semuanya atas satu tujuan -- membeli sebiji bola original. Ini saja sudah bagi gambaran bahawa anak-anak kecil di Chow Kit ini harus mandiri. Mereka berusaha mencari wang bukan sekadar kerana suka-suka tapi kerana terpaksa. Mereka tidak ada jalan lain kecuali itu. Mereka bukan anak dari Damansara, mereka anak Chow Kit. Tapi apa pun, disebalik tindakan mereka ini, pembikin kisah ini dah bagitahukan kita satu hal penting, anak-anak dari mana pun, mereka tetap punya naluri keanak-anakan. Cuma cara mereka meraikan naluri itu saja yang berbeza. Anak Damansara mungkin disuap, tapi anak Chow Kit harus usaha. 

Yang aku kurang senang dengan Kisah I ini adalah, kegagalan pelakon kanak-kanak yang menjadi aksi utama untuk menzahirkan emosi mereka. Banyak babak, yang jika emosi mereka ini berjaya dimanipulasikan dengan betul, akan beri impak besar kepada penonton -- khusus aku. Contohnya bila dua beradik yang ber-ayahkan penagih (lakonan Nam Ron) tinggal di bawah jambatan berumahkan kotak -- si adik demam dan si abang ikut sengsara melihat sengsara si adik. Jika babak ini dijalin dengan emosi yang betul, penonton akan ikut sengsara sama. 

Tapi anehnya, aku tidak berapa mahu komplen tentang kekurangan ini, sekadar pemberitahuan. Mungkin sebab aku sedar ini tanggungjawab berat kepada mereka. Hatta kalau kita beri watak-watak ini kepada mana-mana aktor/aktres kanak-kanak lain yang katanya oh sem -- Miasara sebagai contoh, ia akan tetap beri impak sama, entah-entah lebih kontang. Lagipula aku dengar, para aktor/aktres kanak-kanak di dalam filem ini diambil mentah dari Chow Kit sendiri. Moleklah tu.

Kisah I juga pada aku vulgar dialognya, dan cantik muziknya. (Padahal penulis skor lagu untuk kedua-dua kisah sama saja, ha!)

Muzik latar filem ini, sebagai contoh Mati Hidup Kembali oleh Butterfingers betul-betul hidup. Tak macam Songlap yang mana muzik latarnya bagi aku kasi kacau, muzik latar filem ni pada satu titik menyelamatkan filem ini sendiri. Pergh. 

Dialog kesukaan aku dalam filem ini adalah (sekaligus menyimpulkan segala takikan aku dari tadi); Kau ingat ni kat mana, Damansara? Heh. Kalau dia tak tengok tetek aku, dia tengok tetek orang lain jugaklah!


Vulgar gila, beb!

Menjenguk saja Kisah II, aku diserbu sebuah perasaan yang sama bila aku menontoh telefilem di slot Cerekarama TV3. Entah kenapa, mungkin syotnya, mungkin moodnya, entahlah, tapi inilah yang aku rasa. Dan rasa ini tidak ada di Kisah I tadi. Malah, pendapat aku, Kisah I lebih kuat berbanding Kisah II ini. Ada yang tidak lengkap pada bahagian kisah ini. Semangatnya tidak berapa membara seperti Kisah I. Ianya kekurangan sesuatu. Ia nya terlalu kacau bilau, barangkali.

Sedangkan Kisah II ini disokong oleh seorang aktor dan aktres yang tidak main-main -- Dira Abu Zahar dan Beto Khusyairi. Mereka ini ada sesuatu dalam jiwa mereka. Malangnya Beto Khusyairi tidak diberi peranan yang memberi impak. Persahabatan rentas kaumnya dengan seorang lelaki Cina tidak berapa mendalam. Solidariti antara mereka tidak nampak, terlalu dirasa dibuat-buat. Tapi kehadiran Dira walaupun sekejap-sekejap, tapi impaknya ada. Keputusannya untuk menyelamatkan sahabatnya dengan cara yang merosakkan mereka berdua dalam jangka pendek tapi menyelamatkan mereka dalam jangka panjang sangat oh sem. Walaupun ada penonton yang aku rasa tidak suka. Ha ha. 

See, aku hilang fokus untuk difikir tentang Kisah II ini disebabkan perasaan telefilem itu awal-awal merasuk aku-- jadinya aku tidak berapa inzal dengan Kisah II. Jadi terlebih fokus kepada aktor/aktresnya pula. Dasar pentakik tak guna. Ha ha.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Apa pun, aku mahu ucapkan terima kasih kepada pembikin-pembikin filem ini, walaupun aku banyak komplen, aku tetap rekemenkan filem ini untuk ditonton. Kalau kawan tanya pendapat aku, aku akan jawab ; OKlah. Walhal kebiasaannya untuk filem yang ditayang di pawagam (hatta rilisan Hollywood pun) aku akan kata ; Kurenglah beb. Ha ha.

Labels:

Friday 18 May 2012

Telanjang.

Mohon segala jemari,
hentikan menari atas papan kekunci,
dengan pikiran ingin menulis sekuntum puisi -- lagi,
dengan hatimu terlalu vakum -- tak berisi.

Mohon segera sedar,
takkan bisa ditelanjangkan,
suatu yang langsung tak berpakaian.

Labels:

Wednesday 16 May 2012

Sekadar Cuplikan.

Perhentian bas cuma termuat dengan (4) orang manusia ketika itu. Dua darinya adalah dia, dan sang pelengkap jiwa. Waktu sudah terakam pada minit ke (20) dan jam (10). Waktu-waktu begini, bas tidak akan singgah pun mengambil penumpang. Lumrah, kerana ketika ini, tidak banyak yang menunggu, yang mana memberi erti kepada pemandu bas, bahawa tidak ada untung pun yang akan dijana nanti. Benarlah tanggapan itu, lihat saja jumlah manusia yang ada di sini sekarang.

Malam-malam begini, cuaca sejuk. Angin pun meniup-niup. Tubuhnya yang hanya disalut dengan sehelai baju kurung buatan sutera, pastilah akan digigit oleh suasana sebegitu. Apatahlagi sang pelengkap jiwa, dibalik gagah postur tubuhnya itu, ada gigil yang terserlah -- walau hanya pada matanya dia.

Dia keluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sehelai selendang merah, tebal buatannya. Disarung pada tubuh sang pelengkap jiwanya. Diatur kemas-kemas pada bahu. Tatkala dia sedang mengatur letak selendang itu pada bahu kiri sang pelengkap jiwanya itu, dia rasakan kulit tangannya hangat.

Dia senyum. 

Matanya melihat saja renung mata sang pelengkap jiwa. Lama dia biarkan tangannya itu disangkut pada bahu itu. Sehinggalah mata itu melarikan pandangannya ke hadapan, dengan senyum dibibir, dan dia pun merehat kepala ke bahu sang pelengkap jiwanya.

Bunyi enjin tiba-tiba menderu. Ada suluh lampu silau dari jarak (50) meter. Dua manusia tadi, yang satunya perempuan berlitup penuh, dan seorang lelaki berpakaian formal, kedua-duanya bangun berganjak dari tempat duduk. Ada riak lega pada wajah keduanya. Dari tadi pasti resah, sedikit-dikit dikerling jam tangan -- dililau pandangan. 

"Ah, sudah tahu jam segini tidak ada bas mahu lewat, masih juga pilih terlambat," bisik hati kecilnya.

Mujur keajaiban ini tiba. Entah apa gila sang pemandu hingga sudi membazir minyak dan waktu untuk mengambil penumpang tiada untung, dia pun tak tahu. 

Namun dia sebenarnya tidak peduli. Dia dan sang pelengkap jiwa hanya mahu duduk di bangku perhentian bas ini. Bas ada atau tiada, bukan urusannya. 

Labels:

Menakik Seni ; Salt.

Segalanya, dari pembunuhan Presidennya sendiri, hingga pembunuhan tuannya yang melatihnya menjadi seorang pengintip. Segala episode melarikan diri dari ditahan/diinterogasi oleh CIA. Segala patah riuk yang dia terima. Segala memori masa kecil yang dia kambus tatkala dia bunuh semua komrad pengintipnya. Segala susah payah yang dia lalui dari mula pendedahan siapa dia, penipuan yang dia lakukan, dan pengorbanan yang dia laksanakan.

Segalanya adalah demi cinta.

Entah kenapa, menonton Salt bikin aku teringat sajak romantis Usman Awang yang merobohkan sempadan dan perbezaan antara umat manusia. Walaupun, Salt sebenarnya sedang melakukannya dengan cara yang tidak begitu menyenangkan. Namun semuanya kerana cinta.

Cinta ubah siapa dia sepatutnya. Cinta beri dia pilihan yang disangka sudah direnggut oleh idealisme kotor dan tohot. Cinta selamatkan dia dari penyeksaan yang sepatutnya dia terima. Cinta beri dia nyawa baru -- dan dia peluk nyawa itu seerat-eratnya. Lalu tatkala nyawa itu direnggut dari dia, segala yang dia lihat hanyalah dendam. Dan dendam ini bikin dia rela terima sengsara. Juga malapetaka. Tak dilupa dengki dunia. Juga maruah yang calar balar. Namun demi nyawa yang sudah dirampaspaksa, itu semua jadi nikmat. Lebih-lebih lagi, tatkala dendamnya berbalas. 

Cuma yang aku betul-betul inginkan adalah, Mekkah dan Tehran dimusnahkan dengan bom atom. 9 juta Muslim kan terkorban, dan berbiliona akan bangkit menuntut keadilan. Aku bayangkan segala mazhab jadi satu. Walaupun pintu penyatuan itu cela tertimpa darah, namun jalan di balik itu, sepertinya indah belaka.

Ha ha. Nakal imajinasi aku. Dan aku rasa, peranan filem memang itu. Jadinya Salt, berjaya melaksanakannya dalam perkadaran 40%. Molek dah tu.

Labels:

Sunday 13 May 2012

Sajak & Suara


Labels: , ,

Naratif Bunda.

Tersadung cium tanah
tergores lutut
--berdarah

Berkawan salah pilih
lalu terjerat dek janji
--tak nampak jalan kembali

Meraung di tengah malam
ada sakit dalam dada
--sungguh tak terperikan

Dibuang ke simpang jalan
dipijak tak terkasihankan
--maruah jadi alas kaki orang

Di setiapnya
ada bunda sedang sedia
mendepa tangan
menyambut sedu sedan kita

Dia ‘kan jadi air
--menyembuhkan

Dia ‘kan jadi cahaya
--menunjukkan

Dia ‘kan jadi dodoi
--mendamaikan

Dia penuh sayang
--tak terhabiskan

Carilah bunda anakanda sayang
dia sedang bersimpuh menunggu kau datang.

Labels:

Sudah Ku-tabrak.

Bila berdepan dengan memori yang menyakitkan, kita diberikan dua pilihan, tabrak atau jadi tunggul. Kedua-duanya akan berikan kita kesakitan, cuma yang beza adalah gradien tempohnya. Tabrak, dan sakitnya bukan kepalang, tapi sementara. Lama-lama nanti, sakit itu akan sirna, dan kesakitan itu akan jadi penguat kita. Jadi tunggul, dan sakitnya juga sama -- bukan kepalang rasanya. Namun, kesakitan itu akan tetap dirasakan, sampai bila-bila. Dan akan hanya berhenti, tatkala kita pilih untuk sedar, dan tabrak kesakitan itu. 

Celakanya adalah, kadang-kadang kita terlalu ego. Kita pilih untuk tipu diri sendiri, sehingga kita sendiri percaya atas penipuan itu. Kita percaya bahwasanya, kita sudah tabrak kesakitan itu, dan sedang mengecap kenikmatan. Tunggu hingga kesakitan itu datang kembali, dan saat itu kita akan sedar, betapa kita sebenarnya sedang bertindak bodoh. 

Bodoh itulah yang akan jadi kesakitan kita yang baru. Tanpa meninggalkan kesakitan yang lama itu. Selamat rasakan, kesakitanception. Lol. Dengan perkataan bukan kepalang tidak lagi cukup untuk gambarkan gradien kesakitan itu. 

Labels:

Saturday 12 May 2012

Namanya Sophia.

Namanya Sophia.

Pertama kali aku jumpa dia, dan ba dum dush! -- aku terkesima. Dia cantik. Tapi, sekarang ini, di gradien rasa ini, aku tidak dapat terangkan dengan jelas bagaimana cantiknya dia -- walaupun dia selalu benar terbayang di dalam fikiran aku. Cuma, dia cukup cantik. 

Tapi itu sebenarnya, aku kira, biasa saja untuk aku. Adalah normal untuk lelaki yang namanya Adi ini, untuk terkesima melihat perempuan cantik. Itu biasa. Dan aku pun, tidaklah ada rasa menggedik mahu memikat dia, perasaan itu tidak datang, ianya tersangkut di tahap terkesima. Tidak mahu bergerak ke depan. Tapi tidak juga ingin meloncat ke belakang. Ia terapung-apung di tengah keduanya. 

Dan aku tidak ada masalah dengan itu. 

Namanya Sophia. 

Walaupun dia cantik, tapi dia petite. Tidaklah terlalu petite, tapi petite-lah. Ini, penambah perisa kepada kecantikan dia, ini bikin dia comel, dan orang comel ini, menurut pegangan aku, adalah orang yang sekaligus cantik. Kenapa? Sebab tidak semua orang cantik adalah comel. Jadi, vice versa kepada fakta itu, aku bikin pegangan aku yang tadi. Aha.

Namanya Sophia, dan dia comel.

Proses perkenalan kami berjalan lancar, fakta-fakta sampingan tentang kami jadi minyak pelincir kepada proses tersebut. Baguslah, sebab aku selalu fikir, orang cantik ini sombong. Eh, dia comel, dan orang comel ini biasanya mesra. Aha!

Namanya Sophia, dan dia mesra.

Bila berbual dengan dia, pasca-perkenalan kami, dia kata aku sombong. Satu resiprokal kepada pandangan orang lain terhadap aku. Aku jadi mangli, dan kata ; aku bukan sombong, aku ni pemalu je. Lalu dia gelak, katanya ; orang macam kau ni pemalu? Ceh! Aku pertahankan kata aku, dan balas ; ye, aku ni pemalu. Dia gelak lagi, dan tambah kata ; kau tu tak malu, asik buat lawak je manjang, pemalu apanya! Aku naik kening, dan tanya ; so, aku ni kelakarlah ya? Kemudian dia angguk. 

Namanya Sophia, dia comel, dia mesra, dan dia kata aku kelakar.

Hmm... Macam licin banget je perhubungan kitorang lepas ni.

Labels:

Thursday 10 May 2012

A Pleasing Non-Voluntary Act.

Selain siri Twilight Saga, kamu tak pernah baca novel lain. Bila aku cebikkan pengalaman kamu yang terlalu sedikit itu, kamu mencuka. Aku cebikkan bukan apa, siri itu terlalu membosankan, bagi aku. Salah satu daftar bukunya ; New Moon, yang kamu pinjamkan, aku tangguhkan baca sehingga (2) ke (3) bulan lamanya. Aku habiskan pun sebab kamu yang pinjamkan. Kalau tidak, aku buat tidak pandang.

Bila kamu mencuka tu, aku jatuh suka. Aku perasan kamu tidak berapa serius, mungkin didalangi oleh rasa untuk bermanja. Mungkin, aku tak pasti. Tapi aku pujuk juga. Dan kamu senyum.

Manis, seperti biasa.

Bila kita bersama seorang kawan keluar berjimba, aku ada beli (2) buah buku baru. Salah satunya sangat tebal. Sehingga 400++ muka surat. Kamu tertarik. Jadi aku beri kamu baca sinopsis. Dan kamu suka. Walaupun kamu sangatlah tidak suka rona merah jambu yang jadi latar belakang sinopsis buku itu, dan kamu selalu ulang-ulang hal itu, kamu tetap suka.

Aku pula suka bila kamu asik benar ulang siar ketidaksukaan kamu itu. Entah apa sebabnya. Aku sendiri tidak pasti. Tapi aku suka.

Buku itu tajuknya KELABU. Dan dari bacaan sepintas lalu aku, sebab kamu mahu baca dulu, aku rasa buku itu kitab cinta. Hm. Bagus juga, kan?

Bila kita berjumpa, dan kamu ada garisbawahkan frasa buku itu, yang 'oh-so-sweet' sifatnya dengan jari kamu. Aku mahu tidak mahu, harus senyum. Its really is a non-voluntary act. Sebab bila kamu bikin itu, jiwa aku ada lain macam punya hal kimia yang berlaku, mungkin ada proses-proses luar biasa sedang berjalan, dan tidak semena-mena, tindakan kamu itu bikin jiwa aku hantar mesej kepada bibir untuk lakukan itu -- senyum melanggar bibir. Sebab itu ianya tindakan luar jangka. Sebab bukan aku sendiri yang mahu! Jiwa aku paksa. ;p

Apa pun, aku bersukur juga sebab kamu suka dengan buku ini. Sebab nampaknya buku sebelum ini, yang kamu seperti suka dengan sinopsisnya maka aku belikan, gagal kamu habiskan. Boring, bahasa dia skema sangat. Tak macam Kelabu ni, dia best, tak skema. Macam real je ; kata kamu.

Di sebalik kata-kata kamu itu, aku rasa sesuatu. Sesuatu yang memang khas terbikin untuk aku, dari kamu. Entah ini perasan, atau benar-benar perasaan. Aku tidak tahu, dan tidak mahu peduli. Terlalu berfikir bila di dalam mod begini, kadang-kadang merosakkan. Maka, aku layan sesuatu itu sebagai perasaan, bukan perasan.

Dan sekali lagi, aku senyum.

It really is a pleasing non-voluntary act. ;-)


P.s- Foto kamu dengan Kelabu yang aku minta, ingin saja aku naikkan di sini, tapi aku rasa, aku tidak berapa gemar berkongsi. Lagipula, aku tidak nampak rasional tindakan aku itu. Mengaut trafik? Bleh. Blog ini untuk kamu. 

Labels:

Wednesday 9 May 2012

Menakik Seni ; Pecah.

Novel ini terlalu lambat memikat aku. Premis ceritanya, yang ditawarkan lewat sinopsis di belakang kulit buku, tidak berapa memikat. Apatahlagi bila aku punya senarai keinginan yang agak panjang bagi buku, maka novel ini yang (gagal memikat aku, tapi) selalu aku perasan kelibatnya di kedai-kedai buku mana yang aku pergi, tidak juga aku layan.

Sehinggalah seorang kawan datang, lalu memuji melangit novel ini. 

Aku yang ketika itu kebosanan kerana sudah hampir habis sumber bahan bacaan, terus keluarkan dua puluh (20) Ringgit Malaysia untuk buku ini.

Yang mengecewakan aku, ini generasi pertama novel Fixi, yang mana bermaksud, kertasnya berwarna putih, tidak kuning. Ini jugalah yang bikin nafsu aku mati pada buku ini. Fetish aku tidak terpenuhi. Ah, nasib baik kawan itu boleh dipercaya kadar pembacaannya. Maka aku belilah juga.

Dan syukur ke hadrat Tuhan. 

Novel ini sedikit pun tidak mengecewakan. Dan novel ini, mungkin yang terbaik pernah aku baca dari Fixi. Jalur bahasanya memikat. Penulisnya bikin fusion bila setiap aksaranya pekat aroma dari bahasa melayu era romantika, sedang ia tidak kecewakan kita kerana slanga dan bahasa celupar kita turut dimasukkan. Perasaannya bila cuba bayang tentang aksaranya, seperti baca Usman Awang -- mungkin. 

Jalur ceritanya pula penuh cemas, dan debar. Emosi pembaca digaul dengan sebati. Segala satah perasaan yang ada pada seorang manusia, dipermainkan dengan cermat oleh penulis. Tidak ada yang keciciran di tengah jalan, atau di longkang-longkang cerita. 

Jalur wataknya juga sama, dibangunkan dengan cukup saksama. Persoalan tentang siapa, kenapa dan apa, dijawab dengan hampir sempurna. Sipi-sipi lagi dan penulisnya aku berikan markah lagi 10 markah. Atau memang sudah diberi 10 markah itu, namun kesempurnaan kadang adalah jalan kepada kehancuran, kan. Maka lebih baik berhati-hati. Aku mahu lebih lagi dari penulis ini.

Jalur seks (untuk novel di bawah Fixi, jalur ini perlu dibincangkan sekali), penulisnya memang bijak bermain aksara. Dilapikkan, walau hanya dengan sehelai plastik separa lutsinar. Namun, kalau mahu dibanding dengan novel Fixi yang sudah aku baca (tolak Cekik, Dendam, Tabu, Kougar, dan empat (4) buah buku baharu mereka), Khairulnizam Bakeri-lah yang paling berjaya bermain wayang kulit bila menyentuh jalur ini. Maka, syabas barangkali, kerana setidaknya mereka yang kebabian bila jalur seks ini diadakan di dalam sebuah naratif, akan sedikit tenang-- sekali lagi, barangkali.

(Ah, sekurang-kurangnya, mereka cuma perlu urut dada, atau terbatuk beberapa kali, tidak seperti novel Fixi lain yang turut menyentuh jalur seks, di mana mereka perlu ambil api, dan siram novel tersebut dengan minyak tanah. Ha ha!)

Seperti yang sudah aku nyatakan, aku nantikan karya seterusnya dari penulis kerana novel ini pun sudah bikin aku terpikat. Dan syukur sebab aku lambat ke situ, sekurang-kurangnya aku tidak tergesa-gesa dalam habiskan. Bak kata kata-kata viral, aku boleh bawa bertenang, dan baca PECAH.

Labels:

Sunday 6 May 2012

Non Title.

Apa yang mahu kamu cari
di dalam itu sangkar?

Kan kuncinya sudah kamu telan.

--


Cinta tak beri kita tali, tapi kunci.

--


Revolusi sedang berpencak di selak pintu,
Dan aku sedang tercatuk,
Melangut mendewa peti bercahaya warna biru,
Yang bernyanyi tentang revolusi itu,
Terlalu jauh dan tabu untuk aku.

Revolusi sedang memusing-musing selak pintu,
Aku masih mendewa peti bercahaya warna biru.

--

Nol baru saja dihalau dari rumah, oleh isterinya yang garang kepalang. Alasannya ; dia terlihat bayang Nol di kelab malam yang menawarkan pelacur untuk dilanggan. Nol sudah kata, dari tadi dia di rumah saja. Masak dan kemas rumah. Juga susukan anak-anak mereka yang kecil semua. Isteri Nol tidak percaya. Katanya ; sudah menikah bertahun-tahun, bayang kau pun aku boleh cium! Disebabkan Nol sudah tak mampu laku apa-apa, maka dia berjalanlah melungsur jalan raya. Tak dapat dia singgah di hotel mana-mana, kerana duitnya sudah habis gara-gara terpaksa ditarah bila isterinya minta cincin berlian harga 2 (dua) juta. Ala, aku nak juga buktikan pada kawan-kawan, aku ada juga menabung dari kecil sayang ; pujuk isterinya bila dia tanyakan rasional pembelian. Kerana cinta, dia keluarkanlah simpanan keluarga dari bank, agar isterinya bahagia dan suka. Sekarang baru dia tau rasa. Duit kemana, cincin kemana, cinta kemana. Jam sudah cecah 12 malam. Nol keliru dimana dia mau singgah bermalam. Di lorong, dia takut nanti ada perompakan. Di kerusi, dia takut nanti dia dibuli. Maka Nol pun berjalan mengikut rentak kaki. Ke kanan, ke kiri, ke depan, ke belakang, dia hanya mampu ikutkan. Hinggalah Nol terdengar suara-suara di sebuah padang luas, dengan sebuah bangunan tersergam tak separas. Dia lihat ada khemah berdiri melata. Dia lihat ada manusia-manusia berkumpul berkeliling sesama. Ada yang pakai topeng, V For Vendetta temanya. Nol tak tahu mereka siapa. Tapi Nol beranikan hati dan jiwa, mendekat menegur demi tidurnya supaya nanti selesa. Mereka ada khemah, boleh aku tumpang ; bisik hatinya. Disahut tegurnya oleh seseorang, tapi hanya dengan gerak tangan. Nol fikir dia bisu, maka dia buat gaya mahu tumpang tidur dulu. Orang itu buat gaya itu sekali lagi, Nol buat gaya yang sama berkali-kali. Tapi orang itu tidak juga reti-reti. Nol sampai jadi letih. Lalu, Nol jalan-jalan pusing padang, cari ruang untuk bermalam. Tiba di suatu ruangan, dia lihat ada manusia bertopeng sedang baring, duduk, menonton wayang. Orang putih bahasanya. Nol yang selama ini ketagihan menonton, terus tumpang duduk dan sama jadi penonton. Bila wayang habis, ada seorang lelaki rambut gondrong tegur Nol. Tapi belum sempat dia keluar kata, Nol sudah bikin gaya, mahu tumpang tidur semalam cuma. Lelaki rambut gondrong tanggal topeng dan kata ;

Najib, lu buat apa kat sini. Kena halau bini, lagi?

--

Bentuk Lok bujur
kulitnya mulus
warna coklat halus

Lok bangga

Suatu waktu
Lok teringin jalan-jalan di kotaraya
mulanya Lok tunggu bas dari rumah
satu jam setengah bas lewat dari jadual
tapi Lok redha
setidaknya kulit Lok tetap terjaga
di bawah langit pemerintah
yang biru gemilang warnanya

Di dalam bas
Lok tak dapat tempat
ke kotaraya makan dua jam
maka Lok terpaksa culas
kalau ada yang berdiri cepat cepat dia rampas

kalau ada perempuan sarat
dia pejam mata
buat tidak nampak
konon dia terlena

dengan begitu
Lok tak rasa bersalah
dia bukan menipu
dia cuma terlena

Bukan salah dia
dia memang terlena

Sampai di kotaraya
Lok sangkutkan kacamata hitamnya
biar nampak ada gaya
(walaupun poketnya cukup tambang balik rumah saja)

Lok jalan mendada
bangga betul dia
dengan kasut macbeth
baju quiksilver
dan skinny jeans levi's
yang dirembat
dari matpet taman keramat

Dari jauh
di bawah langit biru gemilang warnanya
gedung besar tersergam gagah

Hati Lok sungguh kenja
tapi Lok tetap langkah selamba
gaya kena jaga

Tapi lagi sepuluh meter ke pintu masuk
Lok tersadung
lalu kena patuk
dengan seekor nyamuk
hitam lagi busuk

teriaknya ;
Hipster patut pergi.

Lalu nyamuk terus patuk Lok ulang kali.

Lok sakit
Lok tak erti
Lok sedih
Lok mati

Sepuluh minit
dan Lok tertetas.

Lalu keluar dari Lok
mahluk bentuk lebih bujur
kulit lebih mulus
warna coklat lebih halus.

namanya Lok
dan dia mahu ke gedung besar
di bawah langit biru terpancar
gemilang.

Labels: ,

Friday 4 May 2012

Amalina 2.0

Tersebutlah kisah tentang seorang anak kecil yang lahir dari ovum, hasil persenyawaan dua pasangan manusia yang gradien harta mereka setelah digabungkan atas nama perkahwinan, layaknya disebut ; takkan habis tujuh keturunan.

Dua manusia tersebut, gembira bukan kepalang, tatkala anak kecil itu bolos keluar tepat-tepat ketika sang bidan baru saja mengeluarkan alat peraknya untuk mengeluarkan anak tersebut secara paksa dari proses hirisan perut pemilik ovum. Apatahlagi tatkala mengetahui, anak kecil tersebut adalah anak pertama yang lahir di malam tahun baru.

Anak kecil itu dikarunia nama paling ringkas pada zaman tersebut, iaini Seri, atas falsafah yang dipegang dua orang manusia tersebut, bahawa lebih ringkas itu lebih cantik. Falsafah ini terbentuk, kerana hasil pemerhatian mereka berdua, ramai anak-anak kecil ketika itu, diberi nama panjang berjela, mencecah hingga 4 ke 5 patah perkataan. Hal ini amatlah menyusahkan, lagi-lagi saat anak-anak kecil itu nanti mahu menulis nama sendiri di sekolah, mereka pasti kebingungan mahu menyusun atur huruf yang betul, jika salah, pastilah moral mereka jatuh, lalu tidak mahu sekolah lagi. Kemudian pastilah, gradien mereka yang bijak pandai di kerajaan ini akan jatuh merudum. Bukankah menggelikan, jika ianya terjadi hanya kerana perangai entah-apa-apa, dua orang manusia yang kebetulan melahirkan anak-anak kecil tersebut.?

Mahu saja mereka berdua, yang digelar Bunda dan Ayahanda oleh anak kecil bernama Seri itu, menggunakan kuasa veto mereka sebagai Pemerintah kerajaan Saka Raya ini untuk membikin akta menghalang mana-mana rakyat mereka untuk memberi nama melebihi 2 patah perkataan kepada anak-anak mereka. Namun, mengenangkan ianya mampu mendorong kepada rusuhan besar-besaran oleh rakyat, maka niat mereka ini dipendamkan dan mereka hanya mengutuk dari dalam istana sahaja. Itu pun terbatas di ruang-ruang privasi mereka berdua, kerana semua kerabat lain juga terkena perangai entah-apa-apa yang sama. 

"Hatta dinding pun sudah bertelinga sekarang ini, sayang," kata sang Raja.

Namun, kerana ligatnya akal fikir mereka berpusing, mencari idea untuk menghapuskan perangai entah-apa-apa yang sudah bagai pandemik tak terkawal, mereka ketemu jalan keluar untuk masalah ini. 

Mereka akan menjadikan Seri sebagai manusia contoh di dalam kerajaan ini.

Keputusan ini diambil mereka berdua, setelah melihat bagaimana perangai entah apa-apa ini merebak. Iaini lewat pengaruh primadona terkenal ketika itu, Siti Nurhalija Mariam Kembang Bunga. Primadona ini, yang meningkat naik gradien kepopularitiannya akibat perangainya yang halus, dan persembahannya di atas pentas yang mantap, benar-benar mencuri perhatian orang ramai. 

Terutamanya manusia-manusia yang bakal menimang anak.

"Siti inilah," bilang sang Raja semasa membuka sembang dengan Permaisuri, "yang jadi inspirasi kepada bakal penimang anak, untuk beri nama hingga mencecah ke 4, 5 patah perkataan."

"Jadi memang anak ini sajalah jalan keluar untuk untuk kita selesaikan masalah ini ya, sayang," balas sang Permaisuri yang sedang menetek Seri. Wajahnya kelihatan sayu. Mungkin rasa bersalah kerana terpaksa memperalatkan anaknya sendiri demi kesejahteraan kerajaan. Sang Raja yang perasan dengan apa yang sedang dirasakan sang Permaisuri hanya diam, sambil menggengam erat jari jemari Permaisurinya.

"Sabarlah sayang," bisiknya dalam hati. Ianya bergetar, hingga sampai ke pintu hati Permaisuri. Dan atas sifat susu ibu, getar bisik itu sampai kepada Seri. Dia yang seakan faham, melepaskan puting ibunya, dan menggagau-gagau jemarinya kepada wanita yang sedang merangkulnya.

Sang Permaisuri menyambut jemari kecil anaknya itu. Seri senyum, lalu ketawa. Getar hatinya pula sampai ke pintu hati sang Permaisuri, yang kemudiannya dia sampaikan kepada sang Raja, lewat bisik halus di kuping telinga.

Sang Raja tabahkan hati, anaknya ini akan dia jadikan tauladan kepada seluruh warganya, biar pandemik ini berakhir, dan kesannya yang menakutkan itu tidak akan terjadi.

Kerajaan ini perlukan minda-minda segar, yang perlu dibugar sedari kecil lagi. Pepatah ; Melentur buluh biar dari rebungnya bukanlah sekadar pepatah untuk dijadikan sebagai alat oleh para hipster dalam bersembang saja. Ianya ada jiwa, dan jiwa itulah yang dia sandarkan untuk menentang secara halus pandemik ini.

Dalam tempoh beberapa dekad akan datang, anak-anak kecil yang baru lahir hari inilah, yang akan menjadi pembikin dasar kerajaan, yang akan memakmurkan segala isinya, yang akan mempertahankan kedaulatannya, yang akan menjadi benteng. Dan untuk segala itu berlaku, intelektualiti murni diperlukan. Dan tidak ada jalan lain, kecuali sekolah.

Kerana itulah, dia bikin dasar pendidikan percuma. Walaupun ditentang habis-habisan oleh kerabat dirajanya yang baru, dia berdegil, dan tetap laksanakan. Mujur rakyat terima, maka para kerabat harus pasrah. Mereka tahu kesannya amarah rakyat pada mereka.

Namun begitu, jikalau nama yang panjang berjela, menjadi punca kepada jatuhnya moral anak-anak kecil ini, lalu menghalang rasa suka mereka kepada sekolah, pintu kepada ilmu, jalan kepada intelektualiti murni, bukankah ini bebal lagi menggelikan?

Maka kerana itu dia lancarkan perang halus kepada pandemik ini. Dan tidak ada jalan lain, kecuali memperalatkan anaknya sendiri, Seri.

Seri harus jadi rujukan kepada para bakal penimang anak. Tetapi lebih penting, dia harus jadi inspirasi kepada anak-anak kecil yang bakal jatuh moralnya itu. Maka dia akan lentur anaknya ini, supaya jadi manusia yang betul-betul punya intelektualiti murni.

Dan haruslah bermula sekarang perang ini.

"Permainan apa kita nak bagi anak kita sayang?" tanya sang Raja ketika sedang membelek-belek senarai permainan yang ditayang di kedai runcit sepelaung dari istananya. Sang Permaisuri yang sedang mendukung Seri yang sedang menangis, cuma senyum, dan kata, "apa-apa pun boleh sayang. Yang penting lepas piawai, jangan nanti Seri kita bagi racun sudah."

Sang Raja angguk, dan terus belek-belek permainan lain. Dia elus janggutnya, "susah juga jadi Ayahanda yang bermisi besar ni."

Seri terus menangis, dirangkulan Bundanya. Kadang-kadang ada warganya yang datang singgah dan mencubit geram pipinya. Yang mana bikin tangisnya makin runcing. Sang Permaisuri sabar, dan terus berusaha. Sama seperti sang Raja.

Mereka harus bersabar. Ini baru titik mula perjuangan mereka. Perang mereka. Gagal bukan pilihan. Nasib dan masa depan kerajaan sedang di dalam tangan.

"Ah, siapa kata perjuangan itu intinya coklat?" kata sang Permaisuri lewat lirik mata, dan senget bibirnya pada sang Raja yang kepenatan mengangkat permainan untuk Seri. Kendara mereka rosak tengah jalan tadi. 

Labels:

Pokes!

Ini kali pertama untuk aku bercinta, lewat yang namanya alam maya. Selama ini medium yang digunakan hanya telefon genggam. Dan pernah sekali telefon awam - itu pun untuk ketahui dan sampaikan berita gembira (atau buruk pada pihak lagi satu). Tak pernahnya aku gunakan medium ini.

Langsung.

Padahal kali terakhir aku di dalam mod ini, adalah ketika Myspace mula hilang tahta, kerana Facebook sedang lancarkan kudeta. Dan ketika inilah, aku jadi saksi, kawan-kawan betul-betul mabok kepayang di laman sosial itu, sampai bikin geli orang sekeliling.

Sejujurnya, kerana hal itu, aku tak yakin kalau aku mahu gunakan laman sosial sebagai alat untuk 'berkomunikasi' dengan pihak yang lagi satu. Takut aku jadi apa yang aku tak suka. Mujur jugalah ketika itu, pihak lagi satu pun tidak berapa gemar dengan yang namanya alam maya ini. Well, sama ada dia serik dengan ex-nya atau dia cuba lari dari memori dengan ex-nya, atau kedua-duanya. Aku malas nak ambil kisah. Itu sudah jadi, dan elok dibiarkan berkubur saja.

;-)

Tapi sekarang, inilah alatnya untuk aku bercinta. Syukur sekarang ini Facebook boleh saja bikin ruang sembang privasi. Tinggal tag nama orang tersebut, dan walah, ini ruang kamu berdua yang punya! Dan tentu, kita berdua gunakannya seoptimum mungkin. 

Tapi, yang lebih menambahkan elemen unsangkarable adalah, aku yang pertama kali mulakan hal ini. Padahal aku bukannya into sangat dengan Facebook segala jadah ni. Aku tak akan sengsara kalau aku tak ada akaun Facebook, atau internet. Aku tak kecanduan pun. Langsung. 

Tapi hari itu, kerana line telefon genggam tidak molek, dan ada rasa tidak sedap menjalar pada hati sebab tidak dapat berkomunikasi dengan kamu, maka aku bikinlah perkara unsangkarable itu. Naikkan status untuk bikin ruang sembang privasi kita berdua. Ah, itu pun sebenarnya atas dasar cuba-cuba sebenarnya. Terselit juga rasa risau, kalau-kalau orang lain ada akses untuk status tersebut. Mujur tiada.

Hanya kamu, dan kamu seorang. ;-)

Dan sampai sekarang, aku sibuk bersembang dengan kamu, kalau-kalau kita berdua online bersama. Bagus juga. Boleh perli-perli, kutuk-kutuk, dan 'geli-geli' tanpa dibataskan jumlah patah perkataan dan sisa kredit. 

Labels:

Thursday 3 May 2012

Cokolat

Tadi petang kamu beri aku sebekas kotak yang diperbuat dari plastik. Di dalamnya ada coklat, dua biji jumlahnya. Warna merah jambu juga biru. Masa tu kita sedang menunggu bas pulang ke rumah. Mata aku melilau pandang, segan kalau-kalau ada mata mencuri lihat. 

Aku pandang kedua coklat tersebut. Comel juga, bisik hati aku. Tapi yang terkeluar di bibir, kenapa belikan ni? Membazir je.

Kamu cuma senyum, lalu bilang, biarlah, untuk kau, tak boleh meh?

Aku senyum kembali. Aku selalu suka dengan gaya kamu, suara kamu, mata kamu, bila kamu katakan ke aku hal-hal sebegitu. Manis, macam biasa. Walau selalunya terlebih, tak apa. Hati yang terkena obesiti gara-gara cinta yang terlebih manis itu, tak terkata rasanya- indah barangkali perkataan yang paling dekat dengan situasi itu. Walaupun jaraknya adalah dalam beberapa tahun cahaya. 

Aku ambil dan kata, macam tak sanggup je nak makan ni. Kemudian kamu renung aku dan kata, makan. Sayang nanti tak makan. Rosak je. 

Tapi, kata aku sambil menerbitkan senyum di bibir, ini kau yang bagi, betul rasa sayang nak makan. Macam nak simpan. Jadi monumen. 

Kamu renung aku lagi. Dalam mata kamu, aku lihat senyum. Kamu suka, teka aku. Kemudian tak semena-mena, kamu  pukul bahu aku, lalu kamu kata, mengada! Makan tu. Faham?

Aku tergelak bila kamu beri reaksi begitu, comel rasanya, jadi aku hangatkan lagi dan kata, tak nak, nak simpan.

Kamu diam, palingkan sekaligus memeluk tubuh kamu. Muka dah mencuka. Aku senyum, dan bisik, ok sunshine, aku makan. Bibir kamu aku lihat senget sedikit. Mungkin suka aku panggil kamu sunshine. Gelaran khas buat kamu, dan kamu seorang.

Kamu kemudiannya tenung aku dan jawab, betul?

Aku senyum dan angguk.

Kemudian bas sudah sampai. Kita segera kejar. Takut nanti ramai orang, dan kita tertinggal di belakang. Bukan aku tak suka, boleh juga berdua dengan kamu. Tapi aku penat, dan tertinggal bas ni lain macam perasaannya. Sambil berjalan, kamu suruh aku letak dalam beg kotak kecil plastik itu, aku enggan. Alasan aku, aku tak nak nanti coklat tu rosak. Sayang..

Kamu senyum, dan kata, mengada.

Labels:

Wednesday 2 May 2012

ALKOHOLsigeret's #3

Aku mau jauh
dari lumpur
kuning
atau
biru.

Aku mau jauh
untuk mendekat
dengan mata air
yang suci dari dicumbu
warna-warna rusuh.

Labels:

Tuesday 1 May 2012

ALKOHOLsigeret's #2

Ini rumah kami
beratap zink
berdinding papan
berlantai simen

setiap satunya
diperoleh dengan
tulang empat keratnya bapak
dan doa tulus emak.

Cerita dodoi bapak
rumah ini dibina dengan payah
tatkala bapak cuma ada emak
hartanya yang tak terjualkan
yang satu-satunya di pangkuan.

Pernah ada yang menyinggah
tatkala zink masih di kedai
papan sedang di hutan
simen belum diceraikan
dan bapak belum berwang.

Katanya mahu menghulur bantu.

Bapak tolak dengan senyum.

Tingkahnya
biarlah anak-anaknya nanti
hidup dan tumbuh
dibawah bumbung
diapit dinding
disanggah lantai
yang dibina dengan air tangannya sendiri.

Biar mereka tahu,
kasih seorang bapak
juga emak
walaupun merata sompeknya
tetap ikhlas untuk mereka
dan mereka cuma.

Ini rumah kami
beratap zink
berdinding papan
berlantai simen

Tanda hati kedua permata kami.

Datangkan bencana
atau dengki manusia
tetap akan kami dirikan semula.

Labels: